Beri perhatian sektor perkhidmatan, penguatkuasaan banteras rasuah

Gambar hiasan. Gambar kecil: Zainal Adnan Abdul Halim
Gambar hiasan. Gambar kecil: Zainal Adnan Abdul Halim
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memberi perhatian lebih kepada sektor berkaitan perkhidmatan kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang apabila berhadapan dengan isu membanteras rasuah serta salah guna kuasa.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, perkara itu kerana kedua sektor tersebut merupakan paling penting sehingga melibatkan banyak pihak terutamanya masyarakat Malaysia.

“Sektor perkhidmatan kerajaan sering melibatkan proses pemberian kontrak, lesen dan tender kerajaan yang kerap dikaitkan dengan tahap ketelusan rendah serta berkait dengan konflik kepentingan individu tertentu.

“Sektor penguatkuasaan undang-undang pula sangat penting untuk dipantau secara serius kerana kegagalan dalam membina kepercayaan masyarakat akan meruntuhkan kepercayaan sistem keadilan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, SPRM akan memberi tumpuan kepada usaha membanteras rasuah dalam aspek perolehan, penguatkuasaan dan ‘grand corruption’ pada tahun hadapan.

Langkah ini bertujuan membantu pertumbuhan ekonomi negara, mengurangkan ketirisan dan mengembalikan aset serta wang negara yang telah diselewengkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, suruhanjaya itu akan melaksanakan transformasi struktur melalui penambahbaikan pendekatan kerja, selain memperkukuhkan fungsi dan peranan setiap bahagian agar lebih efektif dalam melaksanakan tugas.

Dalam pada itu, Zainal Adnan berpendapat, SPRM perlu berusaha keras supaya sentiasa dilihat sebagai badan bebas tanpa dikongkong atau dikawal oleh mana-mana pihak berkepentingan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, persepsi positif daripada masyarakat perlu diserlahkan dengan usaha untuk melaksanakan amanah dengan tegas dan berintegriti.

“Perlu dibuat beberapa transformasi contohnya dalam isu perlantikan Pesuruhjaya SPRM dengan melalui proses yang ketat untuk memastikan benar-benar layak dilantik.

“SPRM mesti dilihat mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat. Mereka bukan setakat suatu badan yang menghukum tapi lebih kepada badan untuk mendidik masyarakat menuju ke suatu tahap integriti tinggi.

“Matlamat ini memerlukan kerjasama yang erat antara kerajaan, masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan secara berkesan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!