30,000 peserta berbaju hitam, lilitan merah dijangka hadir esok

Zulkarnain (tengah) dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu.
Zulkarnain (tengah) dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Hampir 30,000 peserta dijangka menghadiri perhimpunan aman Bangkit Sabahan yang dirancang diadakan di Anjung Senja Teluk Likas, di sini, pada petang Selasa.

Penasihat perhimpunan aman tersebut, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, himpunan itu melibatkan lebih 100 persatuan di seluruh negeri.

Zulkarnain yang juga Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) berkata, perhimpunan itu dirancang diadakan pada Januari tetapi diawalkan.

"Kami hanya sebagai penasihat dan jangkaan kehadiran esok insya-ALLAH, kami G57 seramai 1,500 orang dan jumlah keseluruhan daripadas persatuan lain seramai 30,000 orang.

"Perhimpunan diadakan bermula jam 2 petang dan kira-kira selama sejam mereka berkumpul. Jadi kita minta supaya peserta yang hadir ke perhimpunan Bangkit Sabahan ikut peraturan dan kita buat dalam keadaan yang cukup berhemah.

"Semua berpakaian berwarna hitam dengan lilitan pada lengan berwarna merah atau lilitan di kepala, jadi gelombang hitam akan penuhlah... kita boleh nampak esok," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, Zulkarnain berkata, pihaknya akan cuba mengelak daripada berlaku pertembungan dengan mana-mana kumpulan yang akan mengadakan perhimpunan di tempat dan lokasi yang sama seperti yang dirancang sebelum ini iaitu di hadapan Menara Kinabalu.

"Kita minta peserta yang hadir tolong kawal emosi, kita faham mereka berada dalam keadaan yang sangat panas hati terhadap Fahmi Reza.

Artikel Berkaitan:

"Kita raikan perhimpunan aman, negara ini bebas bersuara jadi jangan buat provokasi walaupun kita dapat maklumat akan buat provokasi dan kita harap peserta Bangkit Sabahan ini jangan ikut mereka," katanya.

Beliau dalam pada itu menyeru selepas perhimpunan di kawasan itu diadakan, bantu bersihkan pantai atau sampah yang ditinggalkan.

"Kalau boleh gotong-royong bersihkan pantai, itu lagi bagus ada manfaat. Sebab itu kita buat di sana, jangan pula habis perhimpunan, sampah kita (tinggal), itu kita tidak mahulah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!