Orang Perlis teruja tunggu Jelajah Sinar Untuk Rakyat

Othman (dua, kiri) meninjau keadaan Masjid Jamek Beseri bagi memastikan persediaan program berjalan lancar. Gambar kecil: Mohamed Ismail, Muhammad Fardhuni Ruhaizat, Amir Ishak
Othman (dua, kiri) meninjau keadaan Masjid Jamek Beseri bagi memastikan persediaan program berjalan lancar. Gambar kecil: Mohamed Ismail, Muhammad Fardhuni Ruhaizat, Amir Ishak
A
A
A

BESERI - Program Jelajah Sinar Untuk Rakyat anjuran Sinar Harian yang diadakan Masjid Jamek Beseri dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, di sini pada 4 dan 5 Januari depan mendapat reaksi positif daripada masyarakat setempat.

Seorang penjawat awam, Amir Ishak, 56, berkata, penganjuran tersebut tepat pada masanya terutamanya dalam menarik orang ramai menyertai aktiviti yang diadakan di masjid.

Menurutnya, hebahan melalui media massa dan sosial perlu dilakukan dengan lebih meluas lagi agar masyarakat sekitar tidak terlepas peluang untuk menyertainya.

Masjid Jamek Beseri lokasi penganjuran Jelajah Sinar Untuk Rakyat pada 4 dan 5 Januari depan.
Masjid Jamek Beseri lokasi penganjuran Jelajah Sinar Untuk Rakyat pada 4 dan 5 Januari depan.

"Aktiviti untuk rakyat seperti ini sangat bagus dan dialu-alukan. Bila diadakan di masjid secara tidak langsung dapat menarik ahli kariah untuk sama-sama aktif dan terlibat sama.

"Program seperti ini perlu diperluaskan dan diperbanyakkan lagi terutamanya dalam menarik lebih ramai golongan muda agar dapat mendekati masjid," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Perkara tersebut dipersetujui seorang pesara polis, Mohamed Ismail, 75, yang melihat aktiviti yang disusun boleh merapatkan lagi hubungan rakyat dan pemimpin selepas Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli turun ke program berkenaan.

Menurutnya, program yang disusun melibatkan masyarakat secara tidak langsung dapat meningkatkan kerjasama dalam sesuatu komuniti.

Artikel Berkaitan:

"Banyak aktiviti yang disusun pada program Jelajah Sinar Untuk Rakyat dan pastinya penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Masjid Jamek Beseri tidak akan ketinggalan untuk menyertainya," ujarnya.

Sementara itu, bagi anak muda berusia 19 tahun, Muhammad Fardhuni Ruhaizat pula melihat penglibatan golongan belia dalam aktiviti kemasyarakatan seperti itu perlu dipertingkatkan.

"Sebagai orang muda, saya menyambut baik program seperti ini dan penganjur perlu menarik golongan belia untuk terlibat sama agar mereka sentiasa terdedah dengan aktiviti berfaedah seperti ini," katanya.

Sementara itu, penyelaras program, Othman Mamat turut turun meninjau Masjid Jamek Beseri dan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan seperti bahagian protokol dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan persediaan program berjalan lancar.

Program tersebut yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) dijangka menarik lebih 1,000 tetamu pada majlis perasmian dan penyampaian bantuan.

Jelajah Sinar Untuk Rakyat akan menampilkan pelbagai segmen menarik melibatkan aktiviti gotong-royong menyediakan hidangan untuk majlis Kenduri Sekampung, ceramah motivasi untuk pelajar miskin, kayuhan basikal santai bersama Raja Muda Perlis dan beberapa lagi aktiviti kemasyarakatan lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!