Isu kolam takungan pecah akan dibawa ke sidang DUN
KUALA SELANGOR - Isu kolam takungan pecah di Taman Seri Alam Saujana Utama di sini akan dibawa sidang Dewan undangan Negeri (DUN) Selangor dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr Ab Halim Tamuri sewaktu meninjau lokasi tersebut pada Isnin.
"Saya akan mengesyorkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meneliti semula lokasi penempatan kolam takungan untuk tidak berada berdekatan kawasan perumahan.
"Kolam takungan juga perlu dibina tidak tinggi daripada kawasan perumahan bagi memastikan keselamatan penduduk," katanya pada Isnin.
Kejadian benteng kolam takungan pecah pada petang Ahad itu menyebabkan limpahan air menderu masuk ke Taman Seri Alam menjejaskan sekurang-kurangnya 200 rumah serta lebih 20 kenderaan ditenggelami air setinggi 0.3 meter.
Menurut penduduk, insiden itu merupakan kejadian kali kedua berlaku dengan kes pertama pada 2015.
Ab Halim berkata, susulan kejadian itu, penduduk menuntut wang pampasan sebanyak RM10,000 bagi setiap keluarga dan berharap pemaju dapat mempertimbangkan tuntutan tersebut.
Pada perkembangan sama katanya, pemaju telah membuat akujanji untuk membuat kerja pembaikan dengan menggunakan bahan lebih baik bagi membendung peristiwa sama berulang.
Tambah beliau, kerja pembaikan itu dimulakan serta-merta serta mengambil masa selama sebulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!