Kakitangan Puspakom terlibat salah laku tidak akan dilindungi

Mahmood
Mahmood
A
A
A

SHAH ALAM - Kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang terlibat dalam salah laku tidak akan dilindungi dari sebarang tindakan disiplin dalaman sekiranya terbukti melakukan perbuatan tersebut.

Ia susulan pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Puspakom Wangsa Maju mendapati sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan di syarikat terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya mengesahkan dua kakitangan dari cawangan berkenaan dipanggil bagi memberikan keterangan kepada JPJ pada Selasa.

“Untuk memastikan integriti pemeriksaan Puspakom, syarikat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangan terbabit seperti yang diperuntukan di bawah terma dan syarat kontrak pekerjaan, termasuk penggantungan atau pembuangan kerja,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, JPJ melaksanakan Op Mengejut Puspakom di seluruh negara pada Isnin bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa mematuhi standard yang ditetapkan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi itu dilakukan tanpa memaklumkan kepada pihak Puspakom terlebih dahulu seperti arahan daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang ingin pihaknya melaksanakan penguatkuasaan secara berfasa.

Ujar Mahmood, pihaknya sedia memberi kerjasama dan mengalu-alukan penguatkuasaan yang dijalankan oleh JPJ bagi memastikan operasi pemeriksaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, langkah tersebut akan membantu usaha membudayakan amalan keselamatan jalan raya di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Pemeriksaan mengejut ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan oleh JPJ untuk memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang kenderaan di jalan raya.

“Kami menyokong penuh inisiatif ini untuk memastikan segala prosedur pemeriksaan

dilakukan dengan telus dan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Puspakom menzahirkan penghargaan kepada JPJ di atas operasi ini, dan menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat tentang salah laku yang berkaitan dengan Puspakom di 1-800-88-2005 atau whistleblowing@drb-hicom.com,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!