Industri automotif berdepan lambakan kenderaan terpakai
SHAH ALAM - Industri automotif negara berdepan dengan isu lambakan kenderaan terpakai yang dijangka memberikan kesan kepada penjualan kenderaan baharu.
Penganalisis automotif, Hezeri Samsuri berkata, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian bagi menangani isu tersebut kerana dibimbangi ia akan mengundang kepada satu permasalahan yang lain.
Ujar beliau, terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada isu lambakan kenderaan berkenaan termasuk persaingan sengit antara syarikat kenderaan.
“Persaingan sengit antara pemain-pemain lama dengan jenama-jenama baharu dari China melihat kepada pelbagai kempen dan promosi yang menarik, seperti kempen servis percuma untuk beberapa tahun.
“Ini secara tidak langsung menyebabkan ramai memilih kenderaan baharu yang menjanjikan pengalaman permotoran lebih mudah dan praktikal,” katanya menerusi sebuah artikel di portal automotif, careta.com pada Isnin.
Ujar Hezeri, faktor kedua adalah peningkatan dari segi kos penyelenggaraan kenderaan yang menyebabkan orang ramai merasakan lebih selamat untuk memilih kenderaan baharu bersama pakej servis yang ditawarkan.
Menurutnya, tempoh sewa beli yang membenarkan kontrak tersebut berlanjutan selama sembilan tahun turut menjadikan bayaran muka dan ansuran bulanan yang lebih rendah.
“Ini memudahkan mereka untuk membeli kenderaan baharu, walaupun Bank Negara membenarkan pinjaman sehingga 90 peratus untuk kenderaan-kenderaan terpakai dari jenama popular di bawah usia sembilan tahun.
“Selain itu, kenderaan sekarang tidak selasak dahulu. Jenama Jepun yang suatu ketika dahulu terkenal dengan kenderaan tahan selama berbelas tahun sebelum kerosakan besar kini sudah hilang taringnya.
“Kita semakin kerap mendengar kenderaan dari jenama Jepun yang mempunyai masalah transmisi hanya selepas tiga ke lima tahun. Ini adalah antara punca yang menakutkan ramai untuk membeli kenderaan terpakai,” ujarnya.
Kata Hezeri, sikap pembeli automotif juga dilihat jauh berubah di mana mereka berani untuk membeli dari jenama baharu yang tidak ada rekod sejarah di negara ini.
Tambahnya, isu panggil semula turut mendorong kepada lambakan kenderaan terpakai.
“Semakin ramai pembeli yang sudah matang dan tahu isu panggil semula dan mereka tidak ada cara mudah untuk mengetahui samada kenderaan terpakai itu ada panggil semula atau tidak.
“Di samping itu, sikap sambil lewa kerajaan yang masih tidak menganggap hak pembeli automotif perlu dijaga menjadikan mereka was-was untuk membeli kenderaan terpakai.
“Isu penipuan oleh segelintir penjual kenderaan terpakai, status bebas kemalangan kenderaan terpakai, penipuan jarak perbatuan adalah antara isu lapuk yang dipandang sepi oleh semua agensi kerajaan,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!