Beri perhatian penuh kepada rakyat - Tun Juhar
KOTA KINABALU - Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berpesan rakyat perlu diberi perhatian penuh kerana mereka adalah asas dan tunjang kepada segala pembangunan serta kejayaan yang dicapai di negeri ini.
Juhar berkata, tanpa sokongan dan kepercayaan daripada rakyat tiada kejayaan yang dapat diraih oleh negeri ini sepanjang 14 tahun tempoh pentadbiran beliau.
"Justeru, setiap keputusan yang diambil dan setiap dasar yang digubal perlu memberi fokus kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat
"Seiring dengan berakhirnya tempoh pemerintahan saya, sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah yang dikasihi atas sokongan, kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam membangunkan negeri ini," katanya.
Juhar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan dan Sanjungan Kasih untuk beliau di sini malam ini yang turut dihadiri isterinya, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau akan menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 esok, dan bekas Ketua Menteri, Tun Musa Aman bakal menjadi Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa Rabu ini.
Juhar berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan juga harus dipuji kerana masing-masing telah menunjukkan komiten yang luar biasa dalam merangka serta melaksanakan pelbagai projek dan inisiatif yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.
"Saya percaya dengan kerjasama yang berterusan, Sabah akan terus berkembang dan mencapai kegemilangan lebih besar,” katanya.
Pada majlis itu, Juhar turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang terlibat menjadi tulang belakang dalam menjayakan semua agenda pembangunan negeri sepanjang beliau mentadbir Sabah.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Musa atas pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!