Cabaran dan harapan 2025
TAHUN 2024 bakal melabuhkan tirainya pada tengah malam ini sebelum kedatangan tahun baharu 2025 yang dijangka lebih mencabar.
Setahun yang ditinggalkan telah menyaksikan pelbagai kenangan pahit manis dan onak duri perjuangan serta usaha kerajaan Madani dalam mereformasi negara.
Mendepani 2025, rakyat Malaysia bakal menyaksikan pelbagai peristiwa yang pasti mempengaruhi kehidupan dalam tempoh setahun mendatang.
Antara peristiwa penting tersebut ialah Malaysia bakal menjadi Pengerusi ASEAN, pelesenan platform media sosial, kembalinya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), perang terhadap gula dan Pilihan Raya Negeri Sabah yang tentunya akan menghangatkan suhu politik tanah air.
Bagaimanapun, terdapat perkara lain yang lebih mencabar malah beri kesan besar kepada rakyat. Ini termasuk kenaikan tarif elektrik, penyasaran subsidi petrol RON95 dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Berikutan adalah 12 peristiwa signifikan 2025.
1. Setahun Malaysia jadi Pengerusi ASEAN
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berperanan penting dalam memperkukuh komuniti ASEAN dan menangani cabaran serantau yang semakin kompleks, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini.
Kepimpinan Malaysia dalam ASEAN juga diharapkan dapat memainkan peranan lebih besar dalam memastikan keutuhan organisasi itu khususnya dalam isu seperti pemulihan demokrasi di Myanmar dan ketegangan di Laut China Selatan.
ASEAN, yang terdiri daripada 10 negara anggota Asia Tenggara, muncul sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia, dengan jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM3.8 trilion pada 2023 dan gabungan penduduk berjumlah 677 juta.
2. Platform media sosial wajib ada lesen
Semua perkhidmatan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia seperti Telegram, WeChat, WhatsApp, Facebook dan Instagram perlu mempunyai Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari ini.
Meskipun begitu, masih belum jelas apakah tindakan SKMM kepada penyedia perkhidmatan yang belum mendapatkan lesen sama ada akan disekat atau diberi tempoh lanjutan untuk memohon.
3. PLKN kembali selepas 7 tahun
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari ini, tujuh tahun selepas ditamatkan pada 2018.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program rintis itu melibatkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera di Kuala Lumpur dan Pahang sebelum diperluas ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.
PLKN diperkenalkan pada 16 Februari 2004 oleh pentadbiran terdahulu bagi memperkasa nilai jati diri dan kenegaraan belia.
4. Perang terhadap gula bermula
Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025 mengumumkan perang terhadap gula dan bercadang menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa sebanyak 40 sen seliter, mulai 1 Januari ini.
Usaha itu bagi menangani masalah obesiti berikutan gula adalah salah satu musuh utama penyakit tidak berjangkit, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, tambahan hasil yang diraih akan digunakan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam seperti penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibators bagi rawatan diabetes, selain menyediakan lebih banyak kemudahan rawatan dialisis untuk pesakit buah pinggang.
5. Tarif elektrik di Semenanjung naik
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan tarif elektrik asas di Semenanjung akan meningkat 14.2 peratus kepada 45.62 sen/kWj bagi tempoh 2025 hingga 2027 bermula 1 Julai ini. Kadar semasa sekarang ialah 39.95 sen/kWj.
Bagaimanapun, Perdana Menteri kemudian mengingatkan TNB untuk mengambil kira beban hidup ditanggung majoriti rakyat negara ini sebelum melaksanakan kenaikan tarif elektrik.
Persatuan pengguna pula menggesa kerajaan tidak menaikkan kadar tarif elektrik kerana langkah itu dilihat berupaya menggugat usaha kerajaan menstabilkan kos sara hidup rakyat.
6. STR, SARA ditambah RM3 bilion lagi
SERAMAI sembilan juta rakyat atau 60 peratus penduduk dewasa negara bakal menikmati peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang telah meningkat kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada 2024.
Penambahan peruntukan RM3 bilion membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700.
Seramai 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah juga akan menerima SARA bernilai RM100 sebulan berbanding 700,000 penerima tahun 2024, bermula April depan.
7. Penyasaran subsidi RON95
Kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025, kira-kira setahun selepas penyasaran subsidi diesel dilaksana pada 10 Jun 2024.
Subsidi petrol RON95 dijangka memberi penjimatan sebanyak RM8 bilion kepada kerajaan khususnya selepas golongan T15 tidak lagi menikmati subsidi. Kerajaan sebelum ini juga memberi jaminan harga RM2.05 seliter akan kekal buat 85 peratus rakyat dengan kos subsidi sebanyak RM12 bilion.
8. Gaji minimum RM1,700
Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 sekarang berkuat kuasa 1 Februari ini.
Bagaimanapun, kerajaan juga bersetuju menangguhkan pelaksanaannya membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan dari 1 Ogos 2025.
9. Cukai SST lebih progresif
Cukai jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan secara lebih progresif mulai 1 Mei depan, namun tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan rakyat. Contoh barangan bukan keperluan dan bernilai premium yang akan dikenakan SST ialah ikan salmon dan avokado.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penambahbaikan SST itu dianggar menjana hasil sebanyak RM51.7 bilion pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM5 bilion daripada unjuran kutipan SST semasa sebanyak RM46.7 bilion.
10. Johor cuti Sabtu dan Ahad
Cuti hujung minggu di Johor ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 berbanding Jumaat dan Sabtu sebelum ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini berkata, pertukaran cuti hujung minggu itu bakal memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor termasuk mendapat lebih masa berkualiti bersama ahli keluarga selain memudahkan lagi perancangan aktiviti pada hujung minggu.
Ia juga katanya, bakal membawa kesan positif ke atas ekonomi dan menegaskan martabat Islam tidak akan berkurang walaupun Johor tidak lagi bercuti pada hari Jumaat.
11. LRT3 mula beroperasi seawal Ogos
Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) membabitkan 20 stesen dengan nilai RM4.7 bilion dijangka beroperasi pada Ogos atau September 2025, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Ini termasuk lima stesen yang sebelum ini dibatalkan iaitu Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik. LRT3 yang bermula dari Bandar Utama dan berakhir di Johan Setia, Selangor bakal memberi manfaat kepada dua juta penduduk.
12. Pilihan Raya Negeri Sabah
PRN Sabah boleh diadakan pada bila-bila masa, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, November lalu, tetapi mesti dijalankan apabila tamat tempoh penggal selewat-lewatnya Oktober 2025.
PRN bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat untuk menerajui kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang itu penting ketika bahang pilihan raya sudah terasa dengan tersebarnya video didakwa skandal rasuah membabitkan beberapa pemimpin Sabah baru-baru ini. Ia juga akan menguji sejauh mana kukuhnya kerajaan perpaduan diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sekarang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!