Kerajaan Madani tidak tergugat perhimpunan 6 Januari

Perhimpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ tidak akan mengganggu gugat kedudukan Kerajaan Madani. Gambar fail.
Perhimpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ tidak akan mengganggu gugat kedudukan Kerajaan Madani. Gambar fail.
A
A
A

SHAH ALAM - Perhimpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ tidak akan mengganggu gugat kedudukan Kerajaan Madani seperti didakwa Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, perhimpunan sedemikian tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk mengguling kerajaan sedia ada.

Menurutnya, istilah ‘tergugat’ seperti yang digunakan hanya untuk kerajaan yang mempunyai masalah kestabilan dari segi politik, namun hal itu tidak berlaku pada kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kestabilan politik tidak boleh diukur oleh pelaksanaan mana-mana perhimpunan, sebaliknya ia diraih melalui sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Sebarang usaha yang mahu mengganggu gugat kestabilan kerajaan hendaklah melalui perubahan dalam Parlimen (sokongan ahli dewan).

“Ia tidak ditentukan melalui perhimpunan atau gerakan-gerakan yang mahu menjatuhkan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum ini, Hassan mendakwa perpaduan Kerajaan Madani akan tergugat sekiranya perhimpunan pada 6 Januari di Putrajaya menjadi kenyataan.

Dakwanya, Titah Adendum akan menjadi isu panas yang boleh ‘membakar’ perpaduan Kerajaan Madani.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, parti Pas cepat ‘menangguk di air keruh’ untuk mendapat laba politik dengan menggerakkan satu usaha menganjurkan perhimpunan besar di depan Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari depan.

Mengulas mengenai tindakan Pas yang dikatakan akan turut bersama-sama berhimpun, Ahmad Martadha mempersoal kepentingan Titah Adendum itu kepada parti berkenaan.

“Kita tidak tahu mengapa Pas bersungguh-sungguh terhadap Titah Adendum ini, sedangkan ia tidak beri apa-apa kelebihan. Sedangkan isu ini lebih kepada UMNO dan kini parti itu sedang melalui proses yang benar dalam memperjuangkan nasib Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Bagaimanapun bagi saya tidak perlu (Pas) menggunakan isu berkenaan semata-mata mahu menarik sokongan rakyat. Dalam konteks ini, benarlah kata Hassan Karim bahawa Pas hanya menangguk di air keruh,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!