Azam baharu bukan sekadar status di IG Story

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SETIAP kali bila masuk tahun baharu, mesti ada antara kawan kita yang akan memuat naik status klise: “Tahun ini aku nak jadi versi terbaik diri aku!” atau “2025, here I come!”

Tapi kita kenal sangat dia, kita tahu itu semua janji palsu. Sebab tahun lepas, status dia lebih kurang macam tu juga kan?

Apa yang Merak nak cerita bukan masalah pada azam dia. Siapa tak nak jadi versi terbaik diri sendiri, kan?

Tapi kalau azam hanya sekadar tulisan dalam kapsyen Instagram Story, apa gunanya? Azam kena ada tindakan, bukan sekadar kata-kata.

Hakikatnya, ramai orang suka hidup dalam ‘azam kosong’. Mereka suka cakap besar pasal perubahan, tapi langsung tak sedia untuk disiplin atau konsisten.

Lepas itu, bila tahun depan datang, ulang balik skrip sama. Tahun 2024 jadi 2025, kemudian 2026, tapi hidup mereka tetap di takuk lama.

Sebab tu Merak selalu juga dengar alasan-alasan popular seperti ‘sibuk’ atau ‘ada masa’.

Padahal masalah sebenar bukan sibuk, tapi malas. Sibuk hanya jadi alasan untuk mereka rasa okay dengan kelemahan sendiri.

Artikel Berkaitan:

Jadi, apa pengajaran yang Merak nak sampai? Jangan jadi macam mereka. Kalau betul nak ubah hidup, buat pelan kecil yang realistik.

Tak perlu tunggu Isnin, tak perlu tunggu tahun baharu. Mulakan sekarang, walaupun langkah pertama tu kecil.

Sebab kalau kita tak ubah apa-apa, kita cuma bawa beban tahun-tahun tak menjadi ke depan. Tahun baharu akan jadi sekadar tarikh dalam kalendar, tanpa makna sebenar. Kita tetap kekal di tempat yang sama, sambil dunia terus bergerak ke hadapan.

Ingat, masa tak tunggu kita. Kalau kita masih main-main, satu hari nanti, kita tengok orang lain dah jauh ke depan dan kita masih sibuk susun azam yang tak pernah kita mula.

Jadi, nak tunggu tahun baharu lagi ke? Atau nak mula sekarang? Pilihan di tangan kita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!