Op mengejut di Puspakom perlu diperluas, kurangkan risiko kemalangan

JPJ menjalankan pemeriksaan mengejut di Puspakom Wangsa Maju pada Isnin.
JPJ menjalankan pemeriksaan mengejut di Puspakom Wangsa Maju pada Isnin.
A
A
A

OP Mengejut Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara pada Isnin mendedahkan bahawa berlakunya ketidaktelusan dalam kalangan kakitangan syarikat berkenaan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, dalam operasi di Puspakom Wangsa Maju bagi tempoh dua jam itu, JPJ telah melakukan pemeriksaan ke atas 115 lori dan mengeluarkan 69 notis saman serta 29 kenderaan telah diambil tindakan.

Ujar beliau, pemeriksaan JPJ juga mendapati sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan di Puspakom terbabit.

Susulan itu, beliau berkata, penyelia dan kakitangan Puspakom yang bertanggungjawab bagi pemeriksaan itu diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ pada Selasa untuk soal siasat selain kertas siasatan akan dibuka.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman menerusi kenyataan pada Isnin berkata, pihaknya tidak akan melindungi kakitangan Puspakom dari sebarang tindakan disiplin dalaman sekiranya terbukti terlibat dalam salah laku.

Ujar beliau, untuk memastikan integriti pemeriksaan Puspakom, syarikat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangan terbabit seperti yang diperuntukkan di bawah terma dan syarat kontrak pekerjaan, termasuk penggantungan atau pembuangan kerja.

Hal itu pastinya mengejutkan ramai pihak kerana sebagai penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor, Puspakom memegang amanah dan tanggungjawab penting bagi memastikan kenderaan terutama pengangkutan berat dapat dibawa dengan selamat di jalan raya.

Kenderaan berat seperti lori, bas, dan treler memerlukan pemeriksaan untuk memastikan komponen penting seperti brek, sistem suspensi dan tayar berfungsi dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Kerosakan pada komponen tersebut dibimbangi boleh menjurus kepada kemalangan serius terutamanya apabila membawa beban berat.

Dengan menjalani pemeriksaan, risiko kemalangan dapat dikurangkan. Ia bukan sahaja membabitkan pemandu tetapi juga untuk keselamatan pengguna jalan raya lain.

Namun begitu, salah satu kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan di Puspakom, menunjukkan bahawa terdapat kelemahan dalam proses penilaian keselamatan.

Bukan itu sahaja, malah operasi JPJ secara mengejut ini juga membuktikan bahawa pentingnya pemeriksaan berkala di Puspakom harus dilaksanakan dengan penuh integriti, telus dan melibatkan prosedur yang ketat.

Ia bagi memastikan kenderaan yang tidak selamat atau tidak mematuhi peraturan tidak dibenarkan beroperasi.

Justeru, operasi penguatkuasaan seperti yang dilakukan itu perlu diperluaskan dan diadakan dengan lebih kerap.

Tindakan itu penting supaya aspek pemeriksaan terhadap kenderaan diberikan perhatian yang lebih serius sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!