Penggantian lif PA Desa Rejang secara berperingkat - DBKL
KUALA LUMPUR - Proses penggantian lif di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang telah dimulakan secara berperingkat oleh kontraktor dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
DBKL dalam satu kenyataan berkata, PA itu mempunyai 38 lif secara keseluruhan dan 18 unit sedang diganti, sementara 14 unit daripada 20 lif berfungsi dengan baik pada masa ini.
“Ekoran kejadian lif overshoot baru-baru ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengarahkan penutupan dua unit lif di Blok D sementara satu unit dalam perlaksanaan penggantian,” kata kenyataan itu.
DBKL menjelaskan, hasil pertemuan Datuk Bandar bersama penduduk pada Isnin mendapati kontraktor telah menghantar permohonan pemeriksaan bagi kelulusan satu lif di Blok D pada hari sama.
“Pihak JKKP dijangka menjalankan pemeriksaan dan memberikan kelulusan Permit Mesin Angkut (PMA) dalam minggu ini setelah pre-inspection dilaksanakan.
"DBKL ingin menegaskan bahawa keselamatan penduduk adalah keutamaan kami.
"Oleh itu, DBKL akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak gagal mematuhi jadual kerja yang ditetapkan,” ujarnya.
DBKL juga menyeru penduduk PA Desa Rejang untuk terus memberi kerjasama dan memahami usaha sedang dijalankan bagi menyelesaikan isu itu secepat mungkin.
"Kami berterima kasih atas keprihatinan semua pihak dalam isu ini dan berjanji untuk terus menambah baik perkhidmatan kami demi kesejahteraan warga kota," ujar kenyataan itu lagi.
Terdahulu Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerja penggantian dan pembaikan lif di PA Desa Rejang akan dilakukan secara berperingkat.
Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, fasa pertama meliputi penggantian 18 unit lif, manakala fasa kedua sebanyak 20 unit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!