Tiga lelaki cuba curi kabel, larikan diri selepas dirakam orang awam
IPOH - [DIKEMAS KINI] Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan tiga lelaki yang terlibat dalam kegiatan curi kabel di kawasan Hala Kledang Emas, Taman Rishah di sini yang videonya tular di media sosial pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan kes itu diterima pada 20 Oktober lalu dan semasa kejadian, ketiga-tiga suspek melarikan diri sebaik menyedari perbuatan mereka dirakam.
"Polis sedang giat mengesan suspek terlibat dalam kejadian ini.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat kes ini diminta tampil membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, berdasarkan laporan dibuat, pengadu berusia 33 tahun terserempak dengan tiga lelaki tempatan yang tidak dikenali itu cuba untuk mencuri kabel di kawasan itu.
Bagaimanapun katanya, cubaan itu gagal selepas mereka menyedari orang awam merakam perbuatan tersebut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan mencuri," katanya.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Al Hakim Al Balkhis di talian 011-11256246.
Rakaman berdurasi 27 saat itu memaparkan tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan dengan seorang daripada mereka memakai topi keledar cuba memasuki lurang (manhole) di atas jalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!