Pintu masuk ke pekan Rantau Panjang dinaiki air

Pintu Dua Kastam untuk ke Pekan Rantau Panjang dinaiki air.
Pintu Dua Kastam untuk ke Pekan Rantau Panjang dinaiki air.
A
A
A

KOTA BHARU - Laluan utama untuk ke pekan Rantau Panjang di Pintu Dua Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dinaiki air kira-kira 0.5 meter (m).

Penduduk, Sabri Mohamad, 55, berkata, keadaan itu berlaku disebabkan oleh limpahan Sungai Golok bermula jam 9 malam pada Isnin.

“Air sungai melimpah dan kemudian memenuhi kawasan di Pintu Dua untuk ke pekan Rantau Panjang menyebabkan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

“Pintu Satu dan Tiga tidak dinaiki air dan ada peniaga di pekan itu masih berniaga,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Keadaan paras air di Sungai Golok di Pangkalan Gergaji, Rantau Panjang.
Keadaan paras air di Sungai Golok di Pangkalan Gergaji, Rantau Panjang.

Menurutnya, air dari Sungai Golok ini naik perlahan-lahan dan tidak secara mendadak.

"Diharap air cepat surut dan keadaan cuaca di Rantau Panjang ketika ini juga tidak hujan,” katanya.

Sabri juga kontraktor itu memberitahu, pekarangan rumahnya di Tersang, Rantau Panjang juga dinaiki air kira-kira 0.5m serta beberapa kampung berdekatan.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan ini masih lagi biasa bagi penduduk namun mereka tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa bersiap sedia.

“Ada sesetengah tempat dinaiki air 0.5 meter di Kampung To’ Deh, Lubuk Gong, Kedap, Kampung Danga dan Kedai Lama,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan banjir di Kelantan, Tanah Merah menjadi satu-satunya daerah yang masih terdapat mangsa berlindung di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).

Jumlah itu bagaimanapun menurun kepada 475 daripada 134 keluarga pada Selasa berbanding 882 mangsa daripada 267 keluarga di sembilan PPS sehari sebelumnya.

Menurut laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/, sehingga jam 8.45 pagi, Selasa, aras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatat bacaan 10.42m melebihi tahap bahaya namun menunjukkan trend menurun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!