Laporan lori dicuri bongkar kegiatan pecah rumah
SUBANG JAYA - Tindakan sekumpulan individu mencuri sebuah lori yang diletakkan di tepi Jalan USJ 1/25 di sini Selasa lalu membongkarkan kegiatan pecah rumah yang aktif dilakukan mereka sekitar kawasan Subang Jaya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik lori terbabit yang merupakan pengarah syarikat ubah suai rumah.
"Pengadu sebelum itu meletakkan lori jenis Isuzu Delta 3 di tepi jalan di lokasi kejadian kira-kira jam 7 malam.
"Bagaimanapun, keesokan harinya kira-kira jam 7 pagi, pengadu mendapati lori berkenaan telah tiada dipercayai hilang akibat dicuri, kerugian dialami dianggarkan kira-kira RM20,000," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan polis kemudiannya membawa kepada penemuan lori terbabit kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Rabu.
"Anggota Balai Polis USJ8 yang menjalankan rondaan berjaya mengesan lori terbabit bersama sebuah kereta jenis Hyundai Starex dinaiki lima lelaki berumur antara 27 hingga 37 tahun dipercayai suspek kejadian.
"Pemeriksaan dijalankan turut menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti pecah rumah dalam kereta dinaiki suspek," katanya.
Menurutnya, soal siasat dijalankan kemudian membawa kepada penemuan kenderaan jenis Perodua Axia yang digunakan suspek untuk aktiviti pecah rumah.
"Siasatan mendapati kenderaan terbabit diletakkan di sebuah pusat beli-belah sekitar Puchong sebelum pemeriksaan dijalankan menemukan dua unit kompresor pendingin hawa dan satu tong gas.
"Semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod jenayah lampau serta dadah," katanya.
Wan Azlan berkata, kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (Akta 574).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!