Pulau Pinang terima 108,029 pelancong China tahun ini

Penerbangan antarabangsa dari China Loong Air telah melancarkan penerbangan terus dari Xi’an ke Pulau Pinang pada Isnin. Gambar kecil: Wong Hon Wai
Penerbangan antarabangsa dari China Loong Air telah melancarkan penerbangan terus dari Xi’an ke Pulau Pinang pada Isnin. Gambar kecil: Wong Hon Wai
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang menerima 108,029 pelancong China melalui penerbangan antarabangsa dalam tempoh Januari hingga November tahun ini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 222.7 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu seramai 33,474 orang.

Menurutnya, peningkatan ketara itu adalah hasil daripada 11 laluan bandar-bandar di China yang mempunyai penerbangan terus ke Pulau Pinang.

Bagaimanapun menurutnya, jumlah tersebut mungkin lebih tinggi jika dikira mereka yang transit di Kuala Lumpur atau masuk ke Pulau Pinang melalui pengangkutan darat.

"China kekal sebagai pasaran utama untuk sektor pelancongan Pulau Pinang, secara konsisten berada dalam senarai tiga negara teratas yang menyumbang pelancong antarabangsa pada tahun ini.

"Pada masa ini, penerbangan terus menghubungkan Pulau Pinang dengan bandar-bandar utama China seperti Xiamen, Guangzhou, Shenzhen, Hong Kong, Shanghai dan Chongqing.

"Setiap laluan ini membuka peluang untuk kerjasama dan pertukaran budaya, sambil memudahkan pelancong meneroka tarikan-tarikan menarik di Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, penerbangan terus ini juga menonjolkan pertumbuhan luar biasa dalam rangkaian penerbangan antarabangsa Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi kekerapan penerbangan terus, Pulau Pinang mencatatkan 61 penerbangan mingguan dari bandar-bandar China pada November tahun ini. Peningkatan yang ketara berbanding 17 penerbangan mingguan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Ia mencatatkan pertumbuhan luar biasa sebanyak 258.82 peratus. Semalam (Isnin), satu lagi syarikat penerbangan antarabangsa dari China iaitu Loong Air telah melancarkan penerbangan terus dari Xi’an ke Pulau Pinang," ujarnya.

Menurut beliau, dengan pertambahan itu, Pulau Pinang kini mempunyai sambungan terus ke 20 bandar antarabangsa melalui 35 laluan.

"Ia bukan sahaja dari bandar utama di China malah destinasi seperti Dubai, Doha, Singapura, Bangkok, Jakarta dan banyak lagi.

"Penerbangan terus ini juga menonjolkan pertumbuhan luar biasa dalam rangkaian penerbangan antarabangsa Pulau Pinang," katanya.

Hon Wai menambah, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan usaha memperkukuh hubungan dengan China, sama ada melalui kerjasama ekonomi, pertukaran budaya atau pengembangan rangkaian pelancongan.

"Dengan penglibatan aktif dalam aktiviti promosi di seluruh China serta terus meningkatkan sambungan penerbangan, kerajaan negeri komited untuk memastikan Pulau Pinang kekal menjadi destinasi utama bagi pelancong China.

"Saya sebagai exco pelancongan akan terus melangkah ke hadapan, memfokuskan untuk memperluaskan rangkaian penerbangan antarabangsa Pulau Pinang," katanya.

Ujar beliau lagi, dengan bekerjasama bersama syarikat penerbangan antarabangsa, kerajaan negeri berhasrat untuk mencipta lebih banyak pilihan perjalanan yang efisien dan mudah diakses oleh pelancong.

"Rangkaian penerbangan yang kukuh amat penting untuk memastikan pertumbuhan berterusan dalam industri pelancongan Pulau Pinang, dan kami akan terus berusaha keras untuk merealisasikan matlamat ini," tambahnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!