[VIDEO] Vivy Yusof, suami peroleh pasport untuk tunai umrah
KUALA LUMPUR - Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar yang didakwa atas satu kes pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta memohon untuk mendapatkan pelepasan sementara pasport di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, membuat permohonan itu bagi menunaikan umrah pada 5 Januari tahun depan dan dijangka pulang ke tanah air pada 14 Januari.
Semasa prosiding, peguam, Ashok Athimulan berkata, pasangan suami isteri itu akan berlepas ke Arab Saudi pada Ahad ini dan mereka berharap dokumen perjalanan itu akan diperoleh segera.
"Ketiadaan pasport akan menyukarkan tempahan tiket perjalanan dan saya percaya pihak pendakwaan selaku responden tidak membantah permohonan ini.
"Anak guam akan mengembalikan pasport kepada mahkamah sehari kemudian,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan tidak membantah perkara berkenaan.
Beliau mencadangkan, pasport boleh dikembalikan kepada mahkamah sebelum tarikh sebutan kes yang dihadapi kedua-dua pemohon pada 22 Januari depan.
"Bagaimanapun saya serahkan urusan terbabit kepada budi bicara mahkamah.
"Sekadar maklumat, pihak pendakwaan ingin tahu sama ada perancangan untuk menunaikan umrah dibuat sebelum atau selepas pemohon didakwa," soalnya.
Fadzarudin kemudiannya menjawab, ia dibuat selepas pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Rosli Ahmad membenarkan permohonan itu dan mengarahkan dokumen terbabit dikembalikan kepada mahkamah 15 Januari tahun depan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka ini ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.
Kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!