Pencapaian cemerlang Pahang: Tingkat kesejahteraan rakyat
Dengan tema Pahang Prihatin, Rakyat Makmur, Belanjawan Negeri Pahang 2024 menjadi manifestasi kepada kejayaan kerajaan negeri dalam membangunkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang terserlah apabila kutipan hasil negeri telah mencecah RM1.179 bilion melebihi sasaran asal sebanyak RM1.137 bilion setakat 16 Disember 2024.
Pencapaian luar biasa ini menjadikan tahun 2024 sebagai tahun ketiga berturut-turut Pahang berjaya merekodkan kutipan hasil melebihi RM1 bilion sejak tahun 2022.
Alhamdulillah, jumlah hasil ini sudah cukup membuktikan kecekapan dan keberkesanan pengurusan kewangan negeri sehingga mampu meraih kutipan berbilion ringgit.
Dalam sektor ekonomi, negeri Pahang menunjukkan prestasi yang luar biasa dengan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada tahun lalu mengatasi kadar pertumbuhan nasional yang hanya 3.6 peratus.
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri Pahang telah meningkat kepada RM64.9 bilion berbanding RM61.7 bilion pada tahun 2022.
Pencapaian ini turut disertai dengan pelaburan komited sebanyak RM16.1 bilion yang berjaya dibawa masuk pada tahun 2023 menggambarkan keyakinan pelabur terhadap potensi dan kestabilan ekonomi Pahang.
Lebih membanggakan apabila Kerajaan Negeri Pahang mendapat pengiktirafan dengan memperoleh Sijil Ketua Audit Negara yang menunjukkan Pendapat Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan 2023. Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menjalankan urus tadbir yang telus dan berintegriti sehingga mendapat pengiktirafan tersebut.
Empat kluster utama
Sejak pandemik Covid-19, Bantuan Prihatin Pahang (BPP) telah menyumbangkan RM141.78 juta melalui empat kluster utama iaitu Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster Golongan B40, Kluster Masyarakat Umum dan Kluster Pemberian Aprisiasi.
Namun, sebagai tanda prihatin dan terus memperkasa rakyat, Kerajaan Negeri Pahang melaksanakan Program Pahang Makmur dengan peruntukan RM32.85 juta.
Program ini merangkumi pelbagai inisiatif seperti Permata Makmur, Tunas Makmur, serta Pahang Makmur Orang Asli yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Di samping itu, Juadah Makmur yang diagihkan kepada jemaah solat Jumaat setiap minggu bertujuan merapatkan hubungan antara rakyat dan kerajaan, dengan peruntukan sebanyak RM8.5 juta.
Juadah Makmur ini bertujuan untuk merapatkan hubungan dan berkongsi rezeki antara rakyat Pahang dengan kerajaan negeri.
Dalam usaha memastikan rakyat Pahang memiliki kediaman yang selesa, kerajaan negeri terus melaksanakan projek-projek perumahan seperti Rumah Rakyat Pahang (RRP), Rumah Makmur dan Rumah PRIMA Pahang.
Pembinaan Rumah Makmur berharga RM80,000, Rumah PRIMA Pahang berharga RM150,000, Projek Rumah Penjawat Awam Negeri Pahang (RPAP) adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu rakyat.
Inisiatif ini memberi peluang kepada golongan miskin dan miskin tegar untuk memiliki rumah sendiri, sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka.
Pemangkin utama jaringan pengangkutan
Bagi memastikan kesejahteraan rakyat, usaha penambahbaikan pelbagai kemudahan terus dilaksanakan, antaranya memperkukuh perkhidmatan bekalan air dengan peruntukan RM2.6 bilion yang dijangka mampu mengurangkan 90 peratus masalah bekalan air menjelang akhir 2026.
Kerajaan Negeri Pahang terus menunjukkan perkembangan pesat dalam projek infrastruktur utama, termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini mencapai 78.82 peratus kemajuan.
Sementara itu, projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) pula yang menghubungkan Bentong ke Lipis telah siap 66 peratus. Kedua-dua projek ini dijangka menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan jaringan pengangkutan sekali gus membawa manfaat besar kepada rakyat.
Perkasa institusi agama Islam Tidak terhenti setakat itu, Kerajaan Negeri Pahang turut memperkukuh sektor pendidikan terutamanya pendidikan agama, sebagai salah satu keutamaan utama.
Tahun ini, institusi agama Islam diperkasakan melalui peruntukan sebanyak RM162.53 juta yang disalurkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Pahang dan Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Kejayaan cemerlang Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang dinobatkan sebagai institusi pendidikan terbaik SPM 2023 dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.07.
Lebih membanggakan apabila Tadika Tahfiz Negeri Pahang yang kini berkembang pesat dari satu cawangan pada 2018 kepada 25 cawangan menjadi bukti kejayaan sektor pendidikan tahfiz di Pahang.
Bagi memastikan kemajuan hasil kerajaan negeri terus diperkukuhkan, Kerajaan Negeri Pahang tegas dalam membanteras pencerobohan tanah dengan tindakan undang-undang yang dilaksanakan tanpa kompromi.
Ini terbukti melalui kejayaan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang telah melaksanakan 160 operasi penguatkuasaan termasuk pemusnahan dan penangkapan serta membuka 117 kertas siasatan sehingga Oktober 2024.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 285 jentera dan 725 peralatan pelbagai jenis telah disita dengan nilai anggaran mencecah RM22 juta.
Dengan semangat ‘Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan’, Kerajaan Negeri Pahang bertekad untuk terus memacu pembangunan yang memberi makna, membawa kemakmuran yang sebenar dan meningkatkan kesejahteraan rakyat untuk generasi akan datang.
Setiap usaha yang dilaksanakan adalah demi memastikan harapan dan impian rakyat tercapai kerana kemajuan negeri ini adalah cerminan dari keprihatinan dan komitmen yang tidak pernah pudar terhadap masa depan yang lebih sejahtera bagi semua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!