Padah sogok polis, pekerja pasar borong warga Myanmar dipenjara dua bulan
KUANTAN - Seorang pekerja pasar borong warga Myanmar dihukum penjara dua bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tuduhan memberi suapan RM200 kepada anggota polis ketika satu sekatan jalan di Cameron Highlands, 26 Disember lalu.
Tertuduh, Muhammed Shafi Muhammed Taher, 28, didakwa melakukan perbuatan itu bagi mengelak dikenakan tindakan selepas ditahan kerana memandu tanpa lesen.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.30 tengah malam hari berkenaan semasa sekatan jalan raya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands.
Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh dengan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 514) dan mengaku bersalah.
Hukuman penjara ke atas tertuduh diputuskan Hakim, Sazlina Safie bermula dari tarikh disabitkan manakala wang yang dirampas dilucutkan hak.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suriawani Abdul Rahim.
Berdasarkan fakta kes, seorang anggota polis berpangkat Sub Inspektor (pengadu) bersama rakan setugas melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu lelaki itu.
Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki warganegara Myammar yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu tidak mempunyai lesen memandu kenderaan dan saman telah dikeluarkan atas kesalahan itu.
Pengadu mengarahkan tertuduh untuk menghubungi rakannya bagi mengambil kenderaan tersebut. Namun tertuduh menawarkan wang rasuah RM200 agar membenarkannya membawa kenderaan tersebut.
Tertuduh diberikan amaran namun berkeras menawarkan wang rasuah dengan meletakkan duit itu di atas meja di hadapan pengadu.
Pengadu telah menahan tertuduh dan membuat rampasan wang rasuah tersebut.
Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ke atasnya dikurangkan dan meminta hanya hukuman denda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!