[VIDEO] Papagomo diperintah padam kenyataan fitnah terhadap KPN
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mengarahkan blogger kontroversi, Papagomo menurunkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong membenarkan permohonan Razarudin untuk mendapatkan perintah injunksi ex-parte atau satu pihak, untuk menghalang blogger itu selaku defendan daripada mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.
Ia berkaitan kes saman fitnah difailkan Razarudin sebagai plaintif pada Khamis lalu, berhubung kenyataan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris yang melabelkannya sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semasa membenarkan permohonan terbabit, Techiong berkata, Razarudin telah menunjukkan wujudnya isu yang serius dalam permohonan terbabit.
“Perkataan dan ayat yang digunakan oleh defendan, jelas merujuk kepada plaintif adalah berunsur fitnah,” katanya.
Hakim ini turut mengeluarkan perintah injuksi ex-parte, yang melarang dan menghalang defendan daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial.
Ia membabitkan kenyataan yang ditujukan kepada Razarudin sehingga perbicaraan kes itu diputuskan.
Mahkamah juga mengeluarkan perintah injuksi ex-parte yang melarang dan menghalang Wan Muhammad Azri selaku defendan daripada menerbitkan video dan status termasuk komen atau rujukan kepada plaintif.
Kenyataan, video, status serta komen itu adalah berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi secara bertulis, lisan sama ada secara atas talian di platfom media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas seperti Telegram dan WhatsApp.
Papagomo juga dikehendaki menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di Youtube, Tiktok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember lalu yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.
“Injunksi terhadap defendan wajar dikeluarkan oleh mahkamah ini dengan segera untuk melarang dan menghalang defendan sebagaimana dipohon oleh plaintif.
“Justeru itu, mahkamah memerintahkan injuksi sebagaimana permohonan plaintif dibenarkan sehingga perintah lanjut mahkamah ini,” kata hakim itu yang menetapkan 10 Januari ini bagi permohonan pendengaran injunksi secara inter-parte atau dua pihak.
Dalam prosiding ini, blogger kontroversi itu dan peguamnya tidak hadir ke mahkamah, begitu juga dengan defendan yang dihadiri peguam, Raam Kumar.
Pada 26 Disember lalu, Razarudin memfailkan notis tuntutan saman bernilai RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri atas dakwaan memfitnah yang melabelkannya sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, media melaporkan, Raam yang mewakili Razarudin berkata, anak guamnya menuntut ganti rugi fitnah lisan dan bertulis, ganti rugi am, teruk/ teladan serta khas.
Raam berkata, Razarudin turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada secara sendiri atau pekerja atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah selain menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.
Selain itu, Raam berkata, Ketua Polis Negara juga menuntut defendan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan atau memadamkan serta memusnahkan kesemua video, penerbitan dan mesej atau material yang merupakan fitnah oleh defendan.
Plaintif turut menuntut defendan membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan melalui semua akaun laman sosial dan media massa dan media dalam talian dengan kandungan permohonan maaf harus dipersetujui terlebih dahulu oleh plaintif.
Sebelum ini, media melaporkan, kertas siasatan membabitkan Wan Muhammad Azri berkaitan video tohmahan terhadap Razarudin dan PDRM sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
Pada 19 Disember lepas, Razarudin mengesahkan, keterangan blogger terbabit telah diambil di Balai Polis Setapak berkaitan video berbaur fitnah dan mengaibkannya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dimuat naik di YouTube.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!