Jeritan jiran selamatkan enam beranak daripada rentung
PORT DICKSON - Jeritan jiran berjaya menyelamatkan enam beranak daripada menjadi mangsa kebakaran rumah dalam kejadian di Kampung Bagan Pinang di sini pada awal pagi Selasa.
Bagaimanapun, mangsa tidak sempat menyelamatkan barangan dan dokumen penting termasuk buku sekolah berikutan api marak dengan cepat dalam tempoh lima minit selepas kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu.
Menceritakan kembali detik cemas itu, mangsa yang merupakan Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Norasikin Mohamad Yusof, 46, berkata, dia bersyukur kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa walaupun mereka sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang.
"Ketika itu saya fikir sarung sahaja telekung sebab mudah lalu menggerakkan anak-anak untuk segera keluar. Dalam masa sama kami cuba untuk padamkan api tetapi keadaan tidak mengizinkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi.
Suaminya, Noor Aiza Baharuddin, 53, yang merupakan bekas imam masjid berkata, semasa kejadian isteri dan empat anaknya yang berusia sembilan hingga 15 tahun sudah tidur.
"Saya baru sahaja hendak tidur tetapi dengar jiran jerit api, saya tengok ke luar rumah, api mulai marak dekat garaj kereta. Saya segera kejutkan isteri dan anak-anak sebelum mengeluarkan kereta Toyota Avanza.
"Sebuah lagi kereta jenis Toyota Vios dan dua motosikal jenis Honda EX5 dan Wave tidak sempat diselamatkan kerana api marak," katanya yang kini tinggal sementara di kediaman abangnya di kampung sama.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Mohd Kamal Mohd Timar berkata, pihaknya tiba di lokasi tujuh minit selepas menerima panggilan kecemasan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, api marak dan ahli keluarga tersebut sudah pun keluar rumah menyelamatkan diri.
"Kesemua enam beranak ini selamat, tiada sebarang kecederaan berlaku. Bagaimanapun rumah mereka hangus dengan kemusnahan lebih 80 peratus termasuk sebuah kereta.
"Seramai 22 anggota bomba termasuk pegawai terlibat dalam kerja-kerja penyelamatan yang tamat sepenuhnya pada jam 4.20 pagi. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!