PBAPP teruskan AIDAP elak kekurangan air di Air Itam, kawasan Farlim

PBAPP akan melaksanakan AIDAP 2025 di Empangan Air Itam pada tahun hadapan. Gambar kecil: Pathmanathan
PBAPP akan melaksanakan AIDAP 2025 di Empangan Air Itam pada tahun hadapan. Gambar kecil: Pathmanathan
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan terus melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP) pada tahun hadapan untuk mengelakkan kekurangan air di Air Itam, kawasan Farlim dan sekitarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata, antara rasional utama pelaksanaan AIDAP 2025 ialah Empangan Air Itam yang memulakan operasi sejak 61 tahun lalu mempunyai kapasiti simpanan maksimum 2,159 juta liter (ML), berbanding dengan kapasiti simpanan maksimum Empangan Teluk Bahang iaitu 18,240 ML dan Empangan Mengkuang Diperluas (86,400 ML).

"Empangan Air Itam bukan besar, kapasiti efektifnya ialah 76.7 peratus pada semalam. Tanpa hujan atau intervensi kejuruteraan bekalan air, rizab Empangan Air Itam mungkin akan habis dengan cepat pada tahun depan.

"Walaupun laporan cuaca antarabangsa tidak meramalkan satu lagi fenomena El Nino panas dan kering pada tahun 2025, adalah lebih baik untuk bertindak secara berhati-hati untuk mengelakkan kekurangan air," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, PBAPP akan terus melaksanakan tiga protokol utama AIDAP untuk memberikan kesenangan kepada pengguna air di kawasan perkhidmatan Empangan Air Itam.

"Kita akan mengehadkan pelepasan dari Empangan Air Itam sebanyak 22 juta liter sehari (JLH) serta mengepam sehingga 33 JLH air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai ke kawasan perkhidmatan Empangan Air Itam.

"Selain itu, kita akan mengoptimumkan pengeluaran air terawat di LRA Air Itam berdasarkan terutamanya kepada ketersediaan air mentah dari dua sumber air lain iaitu Muka Sauk Utama dan Muka Sauk Tat," jelasnya.

Kata Pathmanathan, Empangan Air Itam hanya boleh diisi semula oleh hujan di kawasan tadahan air (KTA).

Artikel Berkaitan:

"Hujan di KTA Empangan Air Itam pada tahun depan, di luar kawalan PBAPP atau sesiapa sahaja, penggunaan air harian adalah dalam kawalan 28,948 pengguna air berdaftar di kawasan perkhidmatan Empangan Air Itam. Pada tahun 2023, penggunaan air domestik per kapita di Pulau Pinang ialah 284 liter/kapita/hari (LKH).

"Ini menunjukkan secara purata, rakyat Pulau Pinang menggunakan terlalu banyak air di rumah. Penggunaan domestik per kapita yang tinggi telah memberi kesan.

"Salah satu ialah risiko krisis air yang lebih tinggi apabila pengguna air menggunakan lebih banyak air daripada mungkin dibekalkan oleh empangan semasa musim kemarau," katanya.

Jelas beliau lagi, kesan lain ialah kos tinggi untuk infrastruktur bekalan air tambahan yang pasti akan dibayar oleh pengguna air melalui kadar air jauh lebih tinggi.

"Adalah lebih selamat dan rasional untuk pengguna air Pulau Pinang menggunakan air dengan bijak pada tahun 2025," katanya.

Sementara itu, Pathmanathan berkata, sebagai persediaan menjelang tahun depan, senario di kawasan perkhidmatan Empangan Teluk Bahang (Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong dan kawasan sekitarnya) juga kurang memberangsangkan.

"Kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang ialah 61.7 peratus pada semalam. Bagaimanapun,, Empangan Teluk Bahang adalah empangan yang lebih besar. Dari segi jumlah sebenar, kapasiti efektifnya ialah 18,240 ML, atau 844.8 peratus lebih daripada 2,159 ML Empangan Air Itam.

"Malangnya, walaupun PBAPP mungkin melaksanakan AIDAP untuk menyokong Empangan Air Itam, tetapi kami mungkin tidak mengepam air terawat dari Seberang Perai ke kawasan perkhidmatan Empangan Teluk Bahang. Oleh itu, PBAPP menasihatkan supaya pengguna menggunakan air dengan bijak," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!