Mayat reput di Banting dipercayai milik remaja hilang di Kajang
SHAH ALAM - Penemuan mayat reput di Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting, Selangor pada Sabtu dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan seorang remaja berusia 15 tahun, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya percaya mayat reput itu milik remaja perempuan yang dilaporkan hilang di Kajang, Selangor pada 22 Disember lalu.
Beliau berkata, susulan penemuan mayat tersebut, polis sudah menahan tiga individu berusia lingkungan 16, 20 dan 51 tahun termasuk teman lelaki mangsa bagi membantu siasatan.
"Mayat yang ditemukan disahkan berada dalam keadaan reput dan tidak dikenalpasti melalui pengecaman fizikal.
"Proses bedah siasat telah dijalankan di Hospital Banting dan buat masa ini, pihak polis masih menunggu keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti mangsa.
"Bagaimanapun kita percaya ia ada kaitan dengan kes kehilangan remaja baru-baru ini, tetapi kita perlu menunggu keputusan DNA yang dijangka diperoleh sehari dua lagi," katanya pada Selasa.
Hussein berkata, dalam laporan yang dibuat oleh teman lelaki mangsa menyatakan gadis itu telah hilang dan tidak dapat dikesan sejak petang 19 Disember lalu.
Sehubungan itu, menurut beliau, pihak polis telah buka siasatan kehilangan remaja itu sebagai orang hilang (OH).
Ekoran penemuan mayat reput tersebut, kata beliau, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah reklasikasi siasatan kes OH kepada kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pihak media difahamkan, mangsa dibuang di dalam sungai, susulan penahanan teman lelaki mangsa dan dua lagi individu lain.
Pada 21 Disember lalu, media melaporkan polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang.
Mangsa dipercayai hilang selepas menghadiri sesi latihan tarian singa di kawasan gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras pada 19 Disember, sekitar jam 10.30 malam.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof menyatakan, pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan Yap Xin Yuan daripada keluarganya jam 2.15 pagi pada Isnin.
Kata beliau, selepas selesai latihan tarian singa, mangsa tidak terus balik ke rumah, sebaliknya mengikut rakannya ke satu destinasi yang belum dapat dipastikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!