Kerajaan Persekutuan sentiasa tumpu soal pembangunan di Kelantan - KSN
PUTRAJAYA - Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan penumpuan kepada soal pembangunan di Kelantan khususnya dalam mempertingkatkan akses keterhubungan antara wilayah di negeri itu melalui pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang bakal dinikmati sepenuhnya menjelang 2027.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kerajaan komited dalam memastikan semua projek pembangunan di negeri berkenaan khususnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dipercepatkan.
"Ia termasuk memastikan isu yang dibincangkan dalam lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan baru-baru ini tidak tertangguh dan dilaksanakan segera,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook rasminya hari ini.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu melibatkan pembinaan 59 terowong dan kerja-kerja pembinaan merangkumi kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) Datuk Nazran Muhammad serta barisan pegawai kanan SUK di pejabatnya, di sini pada Selasa.
Shamsul Azri berkata, Nazran telah memberi cadangan agar lebih banyak kerjasama strategik dapat dimainkan khususnya pasca Deklarasi Kuala Lumpur - Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia yang dimeterai pada 24 November lepas.
Sebelum ini, Shamsul Azri berkata, deklarasi berkenaan menjadi komitmen penjawat awam seluruh negara untuk menyokong sepenuhnya agenda reformasi perkhidmatan awam.
Deklarasi yang dilancarkan pada Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 pada November lepas itu dimeterai oleh semua pentadbiran kerajaan negeri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!