Impak positif Karnival Usahawan Cilik Generasi Madani PTPTN
PUCHONG - Seramai 100 usahawan cilik terdiri daripada murid 20 sekolah yang berdaftar dengan Kelab Simpanan Pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendapat manfaat dan impak positif hasil daripada menyertai Karnival Usahawan Cilik Generasi Madani PTPTN.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, usahawan cilik di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana, PPD Petaling Utama dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya diberi peluang membuka gerai jualan dan mengasah bakat keusahawanan mereka.
"Selain daripada gerai jualan, pelbagai aktiviti lain turut disediakan seperti pertandingan mewarna, menyusun puzzle dan karaoke.
“Karnival ini memang cukup meriah kerana ia turut dihadiri murid-murid dan guru-guru sekolah rendah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya.
"Karnival ini merupakan satu inisiatif strategik di bawah Kelab Simpanan Pendidikan PTPTN bagi membina dan mengembangkan potensi keusahawanan dalam kalangan generasi muda, selain membudayakan amalan penabungan dalam kalangan murid," katanya ketika Majlis Penutupan Rasmi Karnival Usahawan Cilik Generasi Madani PTPTN di Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Utama 3, di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Wan Hashim Wan Rahim, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional KPM, Zulkernai Fauzi, Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, Ahmad Haridan Mohammed dan Guru Besar SK Puchong Utama 3, Roslan Shaarip.
Karnival Usahawan Cilik Generasi Madani PTPTN dianjurkan dengan kerjasama PTPTN dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Puchong Utama 3.
Menurut Norliza lagi, karnival berkenaan merupakan komitmen PTPTN dalam menyahut seruan kerajaan berteraskan konsep Malaysia Madani yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
"Selari dengan objektif penubuhan Kelab Simpanan Pendidikan, karnival ini diharap dapat mempromosikan Simpan SSPN sebagai satu wadah penabungan melalui aktiviti keusahawanan.
"Saya menyeru dan berharap agar sekolah-sekolah di negara ini dapat merebut peluang untuk berdaftar dengan Kelab Simpanan Pendidikan dan dapat menikmati pelbagai kelebihan yang disediakan.
"Antaranya dapat menjadi Sahabat PTPTN menikmati Insentif Kelab Simpanan Pendidikan berjumlah RM1,000 secara 'one-off', tajaan sudut info sebanyak RM250 dan berpeluang menyertai Pertandingan Menabung Peringkat Sekolah dan Peringkat Nasional anjuran PTPTN," ujar beliau.
Katanya lagi, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penabungan melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.
Ujarnya, pihaknya juga yakin usaha tersebut akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara.
Dalam pada itu, Wan Hashim berkata, bagi memastikan setiap murid dapat mencapai potensi terbaik mereka untuk menjadi insan seimbang dan kompeten dunia mencabar ini, pembangunan murid secara holistik menjadi agenda utama KPM.
"Ia tidak hanya tertumpu kepada pembelajaran dalam bilik darjah semata-mata, KPM sentiasa menggalakkan penyertaan murid dalam pelbagai aktiviti kokurikulum seperti sukan, keusahawanan, seni dan kraf untuk membangunkan kemahiran sosial, kepimpinan, kerjasama serta disiplin.
"Program seumpama ini amat baik bagi membina dan mengembangkan potensi keusahawanan dalam kalangan generasi muda dan membudayakan amalan kepimpinan dalam diri mereka.
"Inisiatif murni PTPTN menubuhkan Kelab Simpanan Pendidikan seharusnya menjadikan peluang keemasan oleh pihak sekolah sebagai dorongan untuk mengingat anak-anak mendiri murid-murid tentang kepentingan asas kewangan dan keusahawanan melalui pelbagai aktiviti yang diadakan," katanya.
Sepanjang karnival tersebut berlangsung, PTPTN turut membuka kaunter promosi Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai cenderamata menarik bagi pembukaan akaun baharu atau penambahan deposit.
PTPTN turut menyampaikan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM153,300 melalui Program Tabung Impian Kasih Simpan SSPN khusus kepada ahli Kelab Simpanan Pendidikan di seluruh negara.
Melalui program itu, PTPTN memberikan sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime kepada murid yang masih aktif sebagai ahli Kelab Simpanan Pendidikan pada tahun 2024.
Sumbangan ini melibatkan 1,533 murid dengan setiap murid akan menerima RM100 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.
REAKSI MURID
"Ini kali pertama saya menyertai program sebegini, ia memberi pendedahan meluas kepada saya berkaitan ilmu keusahawanan dan simpanan PTPTN." - Murid Tahun Lima SK Bandar Tasik Selatan, Addyra Azzahrah Muhammad Ikram.
"Saya sangat seronok dapat menyertai karnival ini. Macam-macam pengalaman baru saya dapat." - Murid Tahun Empat SK Bukit Jalil, Rayyan Mikhail Muhammad Faisal.
"Saya mencuba nasib sertai pertandingan menyusun puzzle, alhamdulillah dapat juara, terima kasih PTPTN dan yang terlibat." - Murid Tahun Lima SK Pusat Bandar Puchong 2, Muhammad Eizz Rafiqi Mohd Rais.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!