Himpunan solidariti Najib: Pas tuntut keadilan semua pihak
KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan menegaskan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah perjuangan parti dalam menuntut hak keadilan yang sama rata terhadap semua pihak dan bukannya untuk meraih manfaat politik.
Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Kamal Mohamad berkata, parti itu tidak akan bersetuju dengan apa-apa sahaja bentuk kezaliman dilakukan terhadap sesiapa pun dan prinsip terbabit melangkaui latar belakang politik.
“Mana-mana orang termasuk pemimpin perlu diberi keadilan untuk dibicarakan.
“Pas sentiasa mendukung, menyokong dan bersolidariti supaya satu perbicaraan yang adil dilakukan tanpa mengira orang itu Najib atau Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Beliau mengulas, Pas pernah membela Anwar yang juga Perdana Menteri itu semasa berdepan dengan tuduhan liwat suatu ketika dulu.
Katanya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahkan menulis buku khusus tentang qazaf (hukuman terhadap tuduhan zina atau liwat) bagi mempertahankan Anwar dari tuduhan terbabit.
“Pas membela mana-mana pihak yang tidak diadili dengan kaedah betul dan menuntut keadilan sama rata.
“Maknanya, kami mahukan proses perbicaraan Najib diadili dengan sebaiknya,” kata beliau.
Sebelum ini, tular memo Pas akan mengadakan himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan pada 6 Januari ini.
Berdasarkan memo itu, himpunan akan diadakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad kemudian menyatakan tindakan Pas yang dilihat seperti ‘jaguh’ mempertahankan bekas perdana menteri berkenaan didakwa mempunyai agenda tersendiri demi kepentingan politik parti itu.
Khalid turut memberi cadangan supaya Pas menggugurkan perkataan Islam daripada nama parti itu dan tidak menggunakan ‘Islam’ demi menghalalkan setiap tindakan.
Mohd Kamal dalam respon terhadap cadangkan itu mempersoal kenapa Khalid tidak berbuat demikian semasa berada bersama Pas yang diiktiraf oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) tersebut.
“Perkataan Islam dan nama Pas ini sudah ada waktu Khalid masih berada dalam Pas, kenapa dia tak bantah masa duduk dalam Pas dulu?
“UMNO dulu pun cuba nak menghapuskan perkataan Islam dalam Pas, akhirnya Majlis Raja-raja membenarkan perkataan itu digunakan dalam parti politik selain juga diterima oleh RoS,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!