Tahanan reman meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di kepala
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan terdapat satu kes kematian tahanan reman semasa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan pada 12 Disember lalu.
Jabatan itu dalam satu kenyataannya berkata, kematian tahanan reman itu akibat berlaku pendarahan dalaman di bahagian kepala.
Menurutnya, prospek berusia 32 tahun telah diterima masuk ke Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu atas kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dengan tiada masalah kesihatan dikesan.
"Satu laporan polis telah dibuat berkaitan kes kematian tahanan reman ini oleh pegawai penjara bertugas.
"Berdasarkan laporan oleh pegawai perubatan dan siasatan pegawai penjara, Hakim Koroner telah mengesahkan punca kematian.
"Pihak keluarga prospek berpuas hati dengan keterangan yang diberikan, seterusnya jenazah diserahkan kepada waris untuk dikebumikan," kata kenyataan itu pada Selasa.
Kata kenyataan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga prospek berkaitan punca kematian pada 16 Disember lalu.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Penjara Malaysia akan memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk sebarang siasatan yang dilaksanakan.
"Jabatan Penjara Malaysia memohon kerjasama daripada orang ramai agar tidak menyebar luas berita yang tidak sahih berkaitan kejadian kes tersebut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!