Himpunan Bangkit Ummah desak jawapan kerajaan

Khairul Nadzir (berdiri, kiri) dan Mohd Hafeez (duduk, tengah) pada sidang akhbar Himpunan Bangkit Ummah pada Selasa. Foto SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Khairul Nadzir (berdiri, kiri) dan Mohd Hafeez (duduk, tengah) pada sidang akhbar Himpunan Bangkit Ummah pada Selasa. Foto SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas sehingga kini masih belum mendapat sebarang jawapan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) termasuk pihak berkuasa agama adakah ritual agama boleh disambut di premis kerajaan.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, pertanyaan Pas bukan berkenaan sambutan Krismas tetapi adakah ia dibenarkan diadakan di premis kerajaan.

“Saya nak ulas kenyataan Menteri KPKT, Datuk Nga Kor Ming, persoalan kita bukan kepada sambutan Krismas, tapi adakah boleh di premis kerajaan diadakan ritual agama kerana garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Mufti Wilayah tak dibenarkan ada nyanyian.

“Ini bantahan rakyat, premis kerajaan adalah hak kita kerana rakyat pembayar cukai. Jadi sebagai umat Islam, adakah ia telah dibenarkan jadi sampai ke hari ini, tak ada mana-mana pihak menjawab soalan tersebut,” katanya pada sidang akhbar Himpunan Bangkit Ummah di sini pada Selasa.

Tambah beliau, Pas turut menggesa pihak berkuasa agama termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memberikan jawapan berhubung isu berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri berkata, Himpunan Bangkit Ummah yang diadakan pada Jumaat ini dianjurkan oleh Solidariti Gerakan Bangkit Rakyat terdiri daripada Pemuda Pas, Armada Bersatu serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, antara isu-isu yang akan dibawa dalam perhimpunan berkenaan termasuklah isu yang dikaitkan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Kita sebagai rakyat dan umat Islam amat terancam dengan pengakuan Hannah kerana melanggari kedaulatan Malaysia sebagai sebagai sebuah negara Islam.

Artikel Berkaitan:

“Kita mohon siasatan menyeluruh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mohon Kementerian Dalam Negeri haramkan buku ‘Becoming Hannah’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempelawa gerakan sayap parti-parti politik dalam kerajaan seperti UMNO, PKR dan Amanah untuk turut serta dalam perhimpunan yang bertujuan menyelamatkan martabat Islam itu.

Ujarnya, dalam hal yang berkait dengan Islam semua pihak sewajarnya berganding bahu agar matlamat yang hendak dicapai akan berhasil dengan jayanya.

“Kita cakap isu ini bukan soal politik, ini isu umat Islam dan semua berhak bersuara memberikan pandangan dan bantahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!