Op Mengejut Puspakom: Unsur salah guna kuasa, rasuah diserah kepada SPRM
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat unsur salah guna kuasa berkaitan kes sebuah kenderaan dianggap tidak selamat namun didapati lulus pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Wangsa Maju pada Isnin.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tiga kakitangan Puspakom dirakam keterangan berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata, kesemua individu berkenaan tiba di Ibu Pejabat JPJ Putrajaya kira-kira jam 10.30 pagi.
"JPJ sedang menjalankan soal siasat terhadap tiga kakitangan terbabit bagi siasatan lanjut berhubung kes sebuah kereta yang didapati tidak selamat namun lulus pemeriksaan Puspakom.
"Siasatan dijalankan ini melibatkan elemen penguatkuasaan, teknikal dan integriti," katanya pada Selasa.
Katanya, pihaknya akan menumpukan berkaitan integriti dan salah laku.
"JPJ akan menekankan soal kesalahan atau kerosakan teknikal melibatkan kenderaan itu dan sebab ia diluluskan, namun fokus utama adalah integriti serta salah laku.
"Sekiranya didapati berlaku pelanggaran peraturan dan prosedur yang menjurus kepada salah guna kuasa dan rasuah, ia akan diserahkan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Menurutnya, pihaknya turut akan mengesyorkan beberapa perkara untuk meningkatkan penguatkuasaan.
"Sekiranya didapati berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard, kita akan rangkumkan beberapa cadangan untuk diangkat perkara ini kepada Menteri Pengangkutan," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Op Mengejut Puspakom dilaksanakan di seluruh negara berkuat kuasa pada Isnin.
Operasi itu bertujuan bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa mematuhi standard yang ditetapkan.
Operasi dijalankan di Puspakom Wangsa Maju itu kemudiannya mengesan sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan di Puspakom terbabit.
Susulan itu, Muhammad Kifli berkata, penyelia dan kakitangan Puspakom yang bertanggungjawab bagi pemeriksaan itu diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ pada Selasa untuk soal siasat selain kertas siasatan akan dibuka.
Beliau turut memaklumkan pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas 115 lori dan mengeluarkan 69 notis saman serta 29 kenderaan telah diambil tindakan.
Ujarnya, tujuh kenderaan masing-masing lima kereta dan dua lori juga turut disita dalam operasi itu.
Sementara itu, Puspakom dalam kenyataan berasingan menafikan bahawa tiga kakitangan mereka diambil memberi keterangan oleh pihak JPJ.
“Puspakom ingin menegaskan bahawa hanya dua kakitangan Puspakom yang terlibat dalam pengambilan keterangan ini.
“Seorang Pengurus Wilayah Puspakom turut bersama hadir untuk menemani mereka dan beliau tidak terlibat dengan kes yang dilaporkan berikutan pemeriksaan mengejut JPJ di premis kami semalam (Isnin),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!