Mayat lelaki ditemukan terapung dalam kolam takungan air
SEREMBAN - Mayat seorang lelaki ditemukan terapung dalam sebuah kolam takungan air di Bandar Seremban di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 10.50 pagi memaklumkan melihat mayat di dalam kolam tersebut.
"Seramai 10 anggota termasuk seorang pegawai daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Seremban telah membantu untuk mengangkat mayat ke daratan.
"Hasil pemeriksaan pegawai penyiasat pada tubuh badan si mati mendapati telah menggelembung dan berair serta tiada pengenalan diri dijumpai," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar Seremban telah mengesahkan mangsa dianggarkan telah meninggal dunia lebih 24 jam.
"Setakat ini kes tidak menjurus kepada unsur-unsur jenayah sehingga bedah siasat selesai dilakukan, justeru ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 0127707282 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban (IPD) Seremban di talian 06-6033222 untuk bantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!