Jadikan Temerloh sebagai hub ikan kerai
TEMERLOH - Daerah ini dicadangkan untuk menjadi hub ikan kerai susulan potensi dan kualitinya selain patin yang sudah dikenali di seluruh negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, rasanya yang enak dan memiliki harga tinggi di pasaran perlu dikembangkan selain dijadikan antara produk baharu Temerloh.
Menurutnya, setakat ini ikan tersebut sudah ada diternak di Temerloh namun tidak terlalu dikomersialkan seperti patin.
"Kita kena akui bila sebut ikan patin tilapia di sini la tempatnya namun ikan kerai, rasanya juga sedap dan harganya juga tinggi kerana kualiti ikan tersebut menyebabkan ia dihidang dalam majlis-majlis keramaian bila membabitkan orang-orang kenamaan.
"Saya mempunyai sedikit perancangan untuk memastikan dan memperkenalkan Temerloh bukan sahaja sebagai bandar ikan patin tapi mungkin hub ikan-ikan lain seperti kerai yang belum didedahkan," katanya.
Beliau berkata sedemikian sempena lawatan kerja di Temerloh di Pejabat Pertanian Daerah itu di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pegawai Pertanian Temerloh, Gan Hwee Yiam.
Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan Sungai Pahang khususnya di Temerloh diwartakan dan diangkat sebagai kawasan zon pertanian.
"Di Sungai Pahang khususnya di Temerloh antara kawasan sangat rapat, laluan air sungai di sini mudah dilihat berbanding daerah lain.
"Jadi saya mencadangkan supaya Sungai Pahang diwartakan sebagai kawasan pertanian (perikanan) dan juga industri berasaskan asas tani," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!