Muda gesa moratorium dilaksana, mansuh Akta Hasutan 1948, Akta Sakit Hati
SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa agar moratorium dilaksanakan bagi menghenti dan memansuhkan penggunaan Akta Hasutan 1948 dan 'Akta Sakit Hati'.
Setiausaha Agungnya, Amir Hariri Abd Hadi berkata, pihaknya mengutuk penahanan reman terhadap seorang aktivis dikenali sebagai Fahmi Reza berkaitan poster satira didakwa mengkritik pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu.
"Amatlah mengecewakan, Fahmi disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia yang selama ini telah dilawan oleh orang sama tetapi kini berada di bangku kuasa.
"Mereka lupa bagaimana undang-undang ini telah digunakan bagi menekan suara rakyat melawan kezaliman dan salah guna kuasa.
"Ironinya, selepas mereka berkuasa walaupun selama bertahun-tahun mereka berkempen untuk memansuhkan akta berkenaan jika menang dalam pilihan raya, mereka pula yang terus menggunakan akta ini bagi mendiamkan suara rakyat.
"Tidakkah mereka malu... di dalam mereka melanggar janji, menahan aktivis, mereka masih berteriak reformasi?," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin dilaporkan ditahan polis jam 5 petang pada Isnin susulan lebih 30 laporan diterima termasuk berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan terhadap Tun Musa.
Pereka grafik itu ditahan selepas hadir untuk dirakam keterangan di IPD Penampang dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, Amir Hadi berkata, individu yang sepatutnya ditangkap ialah pihak terlibat dengan skandal rasuah dan penyelewengan bukan aktivis melukis satira.
Tambah beliau, pihaknya yakin bahawa semangat perjuangan rakyat Sabah melawan korupsi itu akan turut disambut di Semenanjung dan perlawanan bakal diperhebatkan sehingga orang yang terlibat dibawa kemuka pengadilan.
"Selepas ini tidak ada lagi perasuah yang diberi kebebasan sebelum berdepan dengan perbicaraan.
"Negara ini tidak akan rosak kerana kerana lukisan satira dan suara rakyat, negara ini rosak kerana korupsi.
"Bebas Fahmi! Mansuh Akta Hasutan! Lawan korupsi!," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!