Pesawat berpatah balik selepas 3 jam di udara, Exco Kerajaan Johor, Nooh Gadut selamat
JOHOR BAHRU - Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkongsi pengalaman mendebarkan apabila kapal terbang yang dinaiki bersama delegasi Johor dari Bahrin terpaksa berpatah balik.
Berkongsi muat naik di laman Facebooknya enam jam lalu pada Selasa, insiden itu berlaku selepas pesawat dinaiki berada di udara hampir tiga jam setengah akibat masalah teknikal.
Turut bersama dalam delegasi itu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Penasihat Majlis Agama Islam negeri, Datuk Dr Nooh Gadut serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail.
"Penerbangan kami dari Bahrin (transit) terpaksa berpatah balik akibat masalah teknikal pesawat setelah hampir tiga jam setengah di udara," tulisnya.
Muat naik mendapat perhatian ramai termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mendoakan keselamatan dan tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini.
Mohd Fared yang juga ADUN Semerah seterusnya berkongsi kemas kini memaklumkan pesawat dinaiki bersama delegasi selamat mendarat semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, lima jam lalu.
"Saya bersama Datuk Dr Nooh Gadut dan Khairin-Nisa Ismail serta delegasi Johor selamat mendarat semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain.
"Penerbangan kami selanjutnya dijadualkan jam 7:30 pagi waktu Bahrain (12:30 tengah hari waktu Malaysia).
"Allahuakbar... berderau juga tadi masa kapten buat pengumuman kat udara.. tapi tenang kaptennya.. siap minta maaf atas kesulitan.
"Syukur semuanya baik-baik belaka.. semua penumpang diberikan kupon makanan oleh pihak penerbangan, tanda maaf dan hospitaliti mereka atas isu teknikal yang berlaku," ujarnya.
Mohd Fared bersama delegasi Johor bertolak ke Turkiye dan Jordan bagi lawatan kerja pada 23 Disember lalu.
Selain bertemu pelajar Johor yang menuntut di kedua-dua negara terbabit, delegasi turut meninjau persiapan akhir penghantaran bantuan Bangsa Johor sebanyak RM2 juta kepada rakyat Palestin di Easy Log Air Cargo, Alqastal-Almushatta, Amman, Jordan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!