RM3.32 juta kompaun berkaitan denggi dikeluarkan di Johor
JOHOR BAHRU - Sebanyak 6,642 kompaun bernilai lebih RM3.32 juta dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sepanjang tahun ini hasil tindakan penguatkuasaan bagi pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, daripada jumlah itu hanya 65 peratus telah membayar kompaun berkenaan.
"Kumulatif kes denggi pada Minggu Epid ke 52/2024 ialah 13,190 kes dengan peningkatan 22.2 peratus kes berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 10,794 kes.
"Setakat ini sebanyak 20 kes kematian telah dilaporkan berbanding 22 kematian sepanjang tempoh sama, tahun lepas," katanya dalam kenyataan pada Selasa
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat agar sentiasa menjalankan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan luar premis mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!