Harap hubungan kerajaan negeri, Pusat lebih harmoni - MB Terengganu

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap agar hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan lebih harmoni pada 2025.

Menerusi hantaran di media sosialnya, beliau berharap Terengganu akan terus menerima layanan baik dan agihan yang saksama.

"Saya harap Malaysia akan terus harmoni secara keseluruhannya terutama dalam amalan federalisme seperti hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, pembahagian sumber yang adil dan saksama serta tumpuan pembangunan yang setara antara semua wilayah," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Perutusan Tahun Baharu 2025 dikeluarkan pada Selasa.

Dalam hantaran sama, beliau berkata, kerajaan negeri akan berusaha meneruskan kecemerlangan dicapai sepanjang pentadbiran sebelum ini di samping turut memperbaiki kelemahan dalam aspek ekonomi, sosial untuk kesejahteraan bersama.

"Pastinya, pelbagai perkara telah dihadapi oleh setiap daripada kita untuk tahun ini sama ada suka atau duka. Namun, yakinlah ada hikmah tersingkap dalam setiap kejadian.

"Dalam kita mengejar kejayaan, jangan sekali-kali kita lupa pada akar budaya dan agama yang menjadi tunjang kepada jati diri kita. Terus berpegang teguh dan sentiasa berusaha yang terbaik untuk beroleh reda-Nya," kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut merakam penghargaan kepada seluruh rakyat Terengganu atas sokongan padu dalam usaha memajukan dan membangunkan negeri serta negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, segala usaha dan perancangan yang dilaksanakan adalah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat merasai nikmat pembangunan secara adil dan saksama.

"Kejayaan yang kita kecapi bukanlah hasil usaha individu semata-mata, bahkan hasil kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat. Sebagaimana kata pepatah, seikat bagai sirih, serumpun bagai serai, begitulah yang kita cuba terapkan dalam pentadbiran negeri," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!