Peraturan keselamatan, kesihatan pekerja di tapak binaan diperluas

Kula Segaran (dua dari kanan) melawat ke tapak pembinaan kondominium 37 tingkat di Taman Desa Jalan Klang Lama ketika mengadakan sidang media hari ini. Turut serta, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia Omar Mat Piah (kanan) dan Pengurus Projek Kanan Tapak Pembinaan Kondominium Seymur (kiri).- Foto Bernama
Kula Segaran (dua dari kanan) melawat ke tapak pembinaan kondominium 37 tingkat di Taman Desa Jalan Klang Lama ketika mengadakan sidang media hari ini. Turut serta, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia Omar Mat Piah (kanan) dan Pengurus Projek Kanan Tapak Pembinaan Kondominium Seymur (kiri).- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan satu perundangan atau peraturan khusus dengan memperluaskan tanggungjawab di tapak pembinaan bukan hanya kepada pihak kontraktor tetapi juga terhadap pemaju dan pereka bentuk.

Menterinya, M Kula Segaran berkata, mengikut peraturan sedia ada keselamatan dan kesihatan pekerja, dibebankan sepenuhnya kepada pihak kontraktor.

“Sepatutnya ada peraturan yang lebih ketat, Jabatan Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan (DOSH) telah pun menghantarnya (peraturan) kepada Jabatan Peguam Negara.

"Pada masa ini, hanya kontraktor dipertanggungjawabkan, jadi kami mahu memperluaskan untuk memasukkan kontraktor, pereka dan pemaju kerana mereka sebahagian daripada kumpulan tersebut.

“Kita mahu mereka juga bertanggungjawab, jadi mereka akan mengekalkan satu standard yang mereka tahu mereka perlu penuhi. Jadi ia sepatutnya akan dapat semula pada bila-bila masa untuk saya wartakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak insiden runtuhan sebahagian kondominium di Taman Desa hari ini.

Ketika ditanya sama ada pekerja yang tercedera ketika kejadian itu mempunyai permit kerja yang sah, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan akan diketahui dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata, pihak forensik di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga masih mengenal pasti punca utama runtuhan.

“Saya difahamkan pihak forensik akan melihat perkara itu, mereka akan ambil kesemua simen dan benda-benda lain, dron kita pun telah pergi ke beberapa tempat yang sukar untuk sampai, satu laporan sedang dibuat dan akan dimaklumkan tidak lama lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kula Segaran berkata, sekiranya didapati terdapat kesalahan, tindakan tegas akan diambil terhadap pemaju, namun pada masa yang sama, masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu.

Sebahagian struktur bangunan kondominium 37 tingkat di Taman Desa, Jalan Klang Lama runtuh, dalam kejadian ‪petang Jumaat‬ lepas menyebabkan dua pekerja warga Bangladesh terperangkap di tingkat satu selepas lantai tempat letak kereta di tingkat enam, runtuh ketika hujan lebat pada 3.30 petang.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan pada jam 5.15 petang serta 9.40 malam dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!