PATI tidak lepas peluang sertai Program Repatriasi Migran
JOHOR BAHRU - Tidak menggunakan laluan tikus untuk pulang ke negara asal kerana bimbang risiko keselamatan isteri dan bayi selain tiada jaminan 'selamat' sampai.
Demikian ujar warga Indonesia, Andi Tadand, 35, yang menyertai Program Repatriasi Migran di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di Wisma Persekutuan di sini, pada Selasa.
Andi memberitahu dia mahu pulang ke negara asal selepas lebih tiga tahun bekerja sebagai buruh pembinaan di Segamat dan Johor Bahru.
Dakwanya, semua dokumen rosak dan hilang ketika banjir melanda tempat tinggalnya di Segamat dua tahun lalu.
"Apabila diberitahu rakan senegara mengenai Program Repatriasi Migran saya cepat-cepat datang ke Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru untuk mendapatkan surat sokongan.
"Seawal jam 8 pagi, saya sudah tiba bersama isteri dan anak berusia 11 bulan di kaunter JIM dan proses cuma perlukan setengah jam selain tidak perlu beratur panjang.
"Saya dan isteri dikenakan kompaun seorang RM500 dan anak RM100. Syukur tidak dikenakan tindakan undang-undang dan tiket feri untuk pulang ke Lombok sudah dibeli pada 2 Disember," katanya.
Pada 1 Mac lalu, pendatang asing tanpa izin (PATI) digesa merebut peluang untuk pulang ke negara asal dengan pengecualian pendakwaan di mahkamah melalui Program Repatriasi Migran yang bermula 1 Mac sehingga 31 Disember 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, PATI yang hadir menyerah diri ke mana-mana pejabat imigresen hanya dikenakan kompaun.
Selepas membayar kompaun berkenaan, PATI boleh meninggalkan negara ini tanpa dikenakan tindakan.
Bagi kesalahan memasuki Malaysia tanpa pas sah dan tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas dikeluarkan akan dikompaun RM500 manakala kompaun RM300 bagi kesalahan melanggar syarat pas.
Bagi pekerja ladang sawit, Hanafi Saputro, 30, tragedi bot terbalik yang berlaku kepada rakan negara yang memilih jalan tikus menjadi pengajaran untuknya agar pulang ke negara asal dengan cara yang sah.
"Saya pernah ditawarkan pakej berharga antara RM3,000 hingga RM4,000 untuk jaminan pulang ke Kampung Semarang Jawa Tengah.
"Tetapi saya tidak mahu mengambil risiko kerana keadaan laut bergelora dan pernah membaca kisah tongkang yang membawa PATI pecah dipukul ombak menyebabkan kematian pada penghujung tahun," katanya.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seramai 30,453 PATI mengambil peluang mengikuti Program Repatriasi Migran di negeri ini sejak 1 Mac lalu sehingga Isnin.
Katanya, daripada jumlah itu warga Indonesia, Bangladesh dan Pakistan paling ramai, manakala negara paling jauh ialah Syria, Nigeria dan Tajikistan.
"Kesemua PATI perlu membuat janji temu secara dalam talian (STO) sebelum diarahkan hadir ke kaunter imigresen bagi pemprosesan permohonan.
"Kaedah ini mengelakkan kesesakan di kaunter imigresen dengan setiap hari seramai 150 diminta hadir bagi pemprosesan permohonan.
"Tetapi untuk dua hari terakhir, kita benarkan PATI hadir tanpa janji temu sehingga jam 5 petang bagi memastikan mereka dapat mengikuti program ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!