Pelantikan Friend keputusan terbaik
PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyifatkan pelantikan Robert Douglas Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya merupakan keputusan terbaik.
Baginda yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) berkata, Friend memiliki kelayakan yang tinggi selain merupakan individu yang mempunyai hubungan yang baik dalam industri sukan bola sepak di dunia.
"Keputusan terbaik melantik jutawan yang berkelayakan tinggi, mempunyai pengetahuan selain mempunyai rangkain hubungan dalam dunia bola sepak dan seseorang yang meminati sukan ini.
"Dengan kelayakan ini, jika suatu hari nanti Malaysia tidak mahukan beliau, JDT akan menyambut beliau dengan tangan terbuka," kata baginda di InstaStory miliknya.
Pada Selasa, FAM mengumumkan Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya dan akan menjadi peneraju utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad kebangsaan.
Friend yang juga bekas pemain kebangsaan Kanada beraksi di posisi penyerang pernah bermain bersama kelab Norway, Moss FC dan Molde FK; kelab Jerman, Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt dan 1860 Munich serta kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy pada 2014.
Selepas persaraan sebagai pemain bola sepak profesional, Friend memulakan kariernya dalam bidang pengurusan di DRG Investment Group dan kemudian beliau menjadi pengasas Toca Football Canada, teknologi latihan khusus bola sepak dan berjaya apabila peningkatan modal syarikat berkenaan mencecah AS$150 juta.
Bermula 2019 hingga sekarang, Friend merupakan rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund, badan pelaburan dalam bola sepak profesional dan infrastruktur melalui pemilikan kelab, stadium dan pembangunan kemudahan latihan.
Antara penglibatan terbesar beliau ialah menjadi salah seorang pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga tersebut dari AS$0 sehingga AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.
Friend juga pernah menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan dan pentadbiran dua kelab yang beraksi di CPL iaitu sebagai CEO dan pengasas bersama Pacific FC dari 2019 hingga 2022 serta sebagai Presiden dan pengasas bersama Vancouver FC dari 2022 hingga kini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!