Mandur rugi hampir RM250,000 terperdaya pelaburan tidak wujud
SIBU - Seorang mandur sebuah syarikat tempatan kerugian hampir RM250,000 selepas terperdaya dengan penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kejadian melibatkan lelaki berusia lingkungan 50-an itu bermula selepas dia berkenalan dengan seorang wanita melalui laman Facebook pada 6 November lepas.
Suspek yang berhubung dengan mangsa melalui aplikasi WhatsApp telah mengajak mangsa menyertai satu skim pelaburan melalui satu pautan yang didakwa memberi keuntungan lumayan.
"Selepas memberi penerangan, suspek mengarahkan mangsa membuat pembayaran pelaburan secara berperingkat bagi mendapatkan keuntungan yang dijanjikan.
"Mangsa telah membuat 27 kali pembayaran berjumlah RM245,600 ke empat akaun bank tempatan seperti diarahkan suspek,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, selepas melakukan pembayaran, mangsa membuat semakan menerusi pautan disediakan dan mendapati jumlah keuntungan terkumpul miliknya adalah sebanyak RM3,620,248.20.
Mangsa dimaklumkan perlu membuat bayaran sejumlah 30 peratus daripada keuntungan ke dalam akaun bank yang lain sekiranya dia mahu mengeluarkan wang pelaburan itu.
"Mangsa yang berasa curiga terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!