Syarikat bas henti-henti Panorama Melaka ditutup
MELAKA - Kerajaan negeri terpaksa menutup operasi syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd (PMSB) berkuat kuasa pada Selasa selepas pengendali bas henti-henti itu tidak berdaya maju dan tidak mencatat keuntungan kerana kaedah pengurusannya tidak dapat dipulihkan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagaimanapun berkata, proses penutupan syarikat itu dijangka selesai selewat-lewatnya 20 Januari ini disebabkan oleh beberapa prosedur berkaitan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) termasuk pemindahan aset-aset milik anak syarikat Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) itu.
Beliau berkata, pengurusan sistem pengangkutan awam berkenaan akan diambil alih syarikat baharu iaitu Handal Indah Sdn Bhd dan kesemua 59 kakitangan PMSB akan diserap ke anak syarikat kerajaan negeri yang lain.
"Sebanyak 19 kakitangan PMSB di bahagian pengurusan, pentadbiran dan sokongan diserap ke anak syarikat kerajaan negeri termasuk Perbadanan Melaka (MCORP), Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH), Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dan Melaka Bekal Sdn Bhd.
"...manakala 40 kakitangan lagi di bahagian operasi bas dan pemandu kini sedang dalam proses ditemu duga dan dinilai oleh Handal Indah Sdn Bhd untuk diserap ke dalam syarikat berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, kerajaan negeri memberi jaminan penutupan PMSB tidak menjejaskan kakitangan terbabit, malah kebajikan mereka akan terus diberi perhatian bagi memastikan tiada antara mereka tercicir atau diabaikan.
Ab Rauf berkata, semua kakitangan terlibat akan tetap dibayar gaji sepanjang proses penutupan PMSB. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!