Pelaksanaan mandatori e-107D bermula esok - LHDN
PUTRAJAYA - Pengemukaan Penyata Bayaran Seksyen 107D secara elektronik (e-107D) merupakan antara perubahan melibatkan perkhidmatan bermula esok, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
LHDN memaklumkan pengemukaan maklumat bayaran kepada ejen, pengedar atau pengagih (individu pemastautin) di bawah Seksyen 107D Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 sebelum ini dilaksanakan secara manual.
"Sehubungan dengan pelaksanaan mandatori ini, pembayar cukai perlu mengemukakan Borang CP 107D secara dalam talian dengan menggunakan kaedah e-107D yang telah disediakan," menurut kenyataan itu pada Selasa.
LHDN memaklumkan pembayaran potongan cukai seksyen 107D perlu dibuat secara elektronik dengan menggunakan nombor bil dan melalui kaedah ByrHASiL di https://byrhasil.hasil.gov.my/HITS_EP/ atau pertukaran proses kewangan (FPX) menerusi pautan ByrHASiL.
Selain itu, beberapa bayaran cukai di Pusat Pengurusan Terimaan HASiL Kuala Lumpur (PPTHKL) dihentikan antaranya Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) - Pegangan cukai tiga peratus oleh pemeroleh hartanah di bawah Seksyen 21B Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT)1976 (Borang CKHT502).
Jenis bayaran yang dihentikan ialah cukai pegangan, cukai pendapatan penghibur awam dan bayaran potongan cukai dua peratus terhadap pembayaran komisen oleh syarikat pembayar kepada ejen, pengedar atau pengagih Seksyen 107D ACP 1967.
Sementara itu, perkhidmatan bayaran kompaun dan cukai pendapatan menggunakan kad debit dan kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia masih diterima.
Menurut LHDN, bayaran bagi kategori cukai yang tidak lagi diterima secara manual boleh dilaksanakan menggunakan nombor bil atau nombor pengenalan cukai (TIN) sebagai rujukan bayaran.
Antara platform ialah secara dalam talian melalui Portal Rasmi HASiL (ByrHASiL) dan portal perbankan Internet bank ejen LHDN; tunai menerusi kaunter Pos Malaysia dan bank ejen dan mesin deposit tunai bank ejen LHDN, mesin juruwang automatik (ATM) dan bank ejen LHDN tertentu.
Selain itu, bayaran boleh menerusi pindahan telegrafik, pindahan dana elektronik (EFT) dan pindahan Giro antara bank (IBG) menggunakan sistem eTT bagi pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di Malaysia dan juga pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar Malaysia.
"LHDN yakin pelaksanaan mandatori dan penambahbaikan perkhidmatan dalam talian itu dapat memudahkan urusan percukaian pembayar cukai serta mencorak satu norma baharu rakyat Malaysia ke arah pendigitalan sepenuhnya pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!