Mahasiswa berhimpun di hadapan Menara Kinabalu hingga jam 1 pagi
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan peserta perhimpunan Gempur Rasuah Sabah akan berhimpun selama 10 jam untuk menyatakan ekspresi mereka terhadap isu melibatkan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang didakwa berlaku di negeri ini.
Mahasiswa UMS merangkap Koordinator Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah, Muhamad Fadhil Muhamad Kasim mendakwa bahawa isu berkenaan telah mencemarkan imej, budaya dan martabat di negeri ini.
"Pada jam 2 petang kami mula berarak dari pintu utama UMS diiringi beberapa anggota polis sehingga di sini (Menara Kinabalu).
"Kami menukar laluan kerana ditutup pada saat akhir susulan notis bahawa jalan ditutup disebabkan ada karnival yang diadakan secara tiba-tiba di Menara Kinabalu," katanya ketika ditemui pemberita ketika perhimpunan itu berlangsung di hadapan Menara Kinabalu, Likas, di sini pada Selasa.
Muhamad Fadhil yang juga Presiden Suara Mahasiswa Sabah berkata, di pihak sekretariat menyifatkan perhimpunan itu sebagai sambutan tahun baharu tanpa rasuah dan korupsi.
Katanya lagi, walaupun terdapatnya pihak polis yang berada di lokasi tersebut namun mereka hanya ingin menyampaikan ekspresi kemarahan terhadap pemimpin di negeri ini.
"Sekarang kita berada di belakang bangunan Menara Kinabalu, syukur walaupun disediakan pihak polis bertopi merah dan berperisai, bahkan ada yang bersenjata tetapi kami mahasiswa tidak takut.
"Kerana kami tidak membawa sebarang bentuk senjata melainkan ekspresi kemarahan untuk dihadirkan di depan Ketua Menteri Sabah dan di depan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman," katanya.
Sehubungan itu, Muhamad Fadhil berkata, mereka akan meneruskan perhimpunan itu sehingga jam 1 pagi kerana borang yang telah diisi pun juga menyatakan masa yang sama.
"Jadi mari beramai-ramai turun, ramaikan pesta rakyat menyambut tahun baharu Sabah tanpa rasuah," katanya.
Sebelum itu, tinjauan Sinar Harian mendapati hampir 100 peserta yang hadir dalam perhimpunan tersebut termasuk rakan mahasiswa dan aktivis dari Semenanjung.
Turut berada di kawasan berkenaan pasukan keselamatan yang membuat kawalan kerana dibimbangi berlaku provokasi dan mencetuskan kekecohan apabila terdapat satu lagi kumpulan himpunan aman Bangkit Sabahan turut diadakan dan berkumpul di kawasan Anjung Selera.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan bahawa keadaan terkawal dan kawalan keselamatan akan diteruskan sehingga mahasiswa atau peserta himpunan beredar dari kawasan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!