Manfaat untuk wanita, kanak-kanak negeri Pahang

Interviu bersama Exco Kebajikan Masyarakat Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan (kiri) bertajuk Koi Minta, Koi Dapat! bersama hos Ruzy Adila Idris di Studio Sinar Harian pada Rabu.
Interviu bersama Exco Kebajikan Masyarakat Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan (kiri) bertajuk Koi Minta, Koi Dapat! bersama hos Ruzy Adila Idris di Studio Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A


SHAH ALAM - Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang terus memberi manfaat bagi meningkatkan kualiti hidup wanita dan kanak-kanak demi memperkasa ekonomi, pendidikan, kemahiran, kesihatan, sosial dan kebajikan mereka menerusi pelbagai strategi serta program yang dirangka.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, dengan peruntukan sebanyak RM1 juta setiap tahun, dasar yang dilancarkan sejak 2022 itu terbukti memberi kesan positif dalam memberi sokongan kepada golongan memerlukan demi mendepani cabaran hidup.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Pahang akan memastikan golongan ibu tunggal, wanita B40, suri rumah, warga emas, remaja perempuan dan kanak-kanak tidak tercicir dalam menerima manfaat daripada program-program yang bersesuaian.

“Apabila kerajaan melihat Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang ini banyak memberikan impak yang bagus dalam memajukan wanita Pahang, jadi dasar ini diteruskan untuk tahun hadapan menerusi peruntukan Belanjawan 2025 Negeri Pahang.

“Ia menekankan usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam latihan kemahiran dan keusahawanan yang penting untuk wanita luar bandar agar mereka dapat menjana pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan atau kerajinan,” katanya dalam Program Podcast Sinar Harian,di Studio Sinar Harian di sini, baru- baru ini.

Meningkatkan kemahiran, kebolehpasaran wanita Tambah beliau, Anggun Maju merupakan antara program utama yang wajar dimanfaatkan demi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran wanita menerusi suntikan modal atau geran perniagaan.

Di bawah program berkenaan, kerajaan negeri juga memperkenalkan SuriTekno untuk memberi pendedahan ilmu keusahawanan kepada golongan suri rumah.

“Kita berikan latihan dan kemahiran keusahawanan kepada suri rumah, seperti kursus pembuatan kraftangan dan jahitan untuk membantu mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah.
Artikel Berkaitan:


“Kita juga sediakan program kemahiran dan latihan pemasaran digital untuk mereka mempromosikan jualan dalam talian serta penggunaan platform e-dagang untuk membantu mereka memasarkan produk lebih meluas.

“Kerjasama dilaksanakan bersama agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dengan mengadakan kursus pendek untuk beri peluang suri rumah menjalankan perniagaan,” katanya.

QR code
QR code



Jelas beliau, inisiatif yang dilaksanakan tidak terhad kepada anak kelahiran Pahang tetapi ia layak untuk pemastautin tetap.

“Wanita Pahang sangat bertuah berada di Pahang. Jika suami orang Pahang, wanita ini telah lama duduk di Pahang, kita tidak meminggirkan mereka.

“Bantuan yang disediakan juga tidak terhad kepada inisiatif sedia ada tetapi mereka yang memerlukan boleh memohon melalui Unit Pembangunan Wanita dan Sosial dalam bentuk bantuan lain sekiranya wujud keperluan,” katanya.

Bantu pasangan B40 ‘bina masjid’

Dalam masa sama, Sabariah berkata, Program Anggun Suri iaitu program perkahwinan beramai-ramai menjadi antara inisiatif unik yang diteruskan tahun hadapan.

Katanya, program tersebut menyaksikan penglibatan seramai 40 pasangan B40 bagi tahun ini.

“Ia merupakan satu inisiatif yang unik dan bermakna untuk meringankan beban kewangan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga khususnya dalam kalangan golongan B40.

“Salah seorang daripada pasangan mesti merupakan anak kelahiran Pahang dan perkahwinan pertama untuk melayakkan mereka menyertai program ini,” katanya.

‘Bidadari Merah’ untuk gadis sunti

Pada masa sama tambah beliau, kebajikan golongan kanak-kanak dan remaja perempuan diberi perhatian di bawah Kluster Keluarga.

Katanya, program bersama keluarga dan ibu bapa dengan kerjasama agensiagensi berkaitan dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada mereka.

“Kita ada memberikan kursus, membawa mereka keluar dari rumah atau kawasan kejiranan dengan membuat program bersama pemimpin-pemimpin setempat dan agensi-agensi berkaitan untuk mereka.

“Paling penting bawah Kluster Keluarga kita wujudkan satu program dinamakan Bidadari Merah untuk kanak-kanak perempuan yang berumur daripada sembilan sehingga 17 tahun dengan mendedahkan mereka tentang haid, penjagaan dan kesan kehidupan mereka akan datang.

“Fokus kita bagaimana memberi pendedahan kepada mereka untuk memasuki gerbang remaja. Kita panggil doktor-doktor pakar dan pakar motivasi untuk bercakap dan beri pendedahan,” katanya.

Inisiatif seimbang, tiada diskriminasi

Berkongsi lanjut, beliau berkata, setiap program dirangka dengan seimbang termasuk untuk warga emas, antara di bawah Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP).

Selain itu katanya, program Bidadari Emas juga dilakukan di kawasan pedalaman seperti di perkampungan Orang Asli dan di kampung-kampung yang jauh dari bandar, memberi fokus kepada penjagaan kesihatan mereka.

“Melalui MTSP, kita juga ada khidmat bantu di rumah yang menyediakan khidmat bantuan di rumah golongan kurang upaya.

“Salah satunya, sekiranya warga emas itu tinggal seorang, kita adakan gotongroyong dan bersih rumah untuk membantu mereka,” katanya.

Sehubungan itu, dengan segala inisiatif yang digerakkan, besar harapan beliau agar wanita Pahang membina sebuah komuniti yang inklusif, progresif, dan seimbang.

“Saya ingin melihat mereka terus maju dalam pelbagai bidang sama ada dalam pendidikan, perniagaan atau kepimpinan dengan sokongan penuh daripada pelbagai pihak dan kerajaan negeri.

“Wanita perlu diberi peluang dan platform adil tanpa diskriminasi untuk menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.

INFO

10 Kluster Utama Dasar Wanita Pahang


1. Kluster Pendidikan

2. Kluster Kekeluargaan

3. Kluster Perundangan

4. Kluster Kesihatan

5. Kluster Keagamaan

6. Kluster Pekerjaan

7. Kluster Keusahawanan

8. Kluster Teknologi

9. Kluster Kepimpinan

10. Kluster Seni, Budaya Dan Warisan

Antara inisiatif dilaksanakan:

Anggun Maju

Latihan kemahiran dan keusahawanan kepada ibu tunggal, wanita B40 dan suri rumah untuk membantu menjana pendapatan.

Anggun Suri

Program perkahwinan beramai-ramai bagi membantu mendirikan rumah tangga, khususnya dalam kalangan golongan B40.

Anggun Care

Talian aduan 24 jam khusus kepada wanita di Pahang yang boleh diakses oleh orang awam menggunakan dua saluran iaitu talian telefon dan aplikasi Whatsapp di nombor 019-3463008.

Pusat Pengembangan Usahawan Wanita Pahang Menyediakan bimbingan, ruang kerja bersama (co-working space), dan perkhidmatan untuk membantu wanita termasuk ibu tunggal dalam memulakan atau mengembangkan perniagaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!