Hilangnya permata seni
DUNIA hiburan sepanjang 2024 turut berasa sedih dengan pemergian permata berharga industri seni.
Ada yang pergi secara mengejut dan tidak kurang juga sudah diketahui keadaan kesihatan yang semakin merosot.
5 Januari
Hamdan Senario
Selepas hampir seminggu bertarung nyawa, pelawak yang juga anggota kumpulan Senario, Hamdan Ramli, 55, disahkan meninggal dunia sekitar jam12.50 tengah hari di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
3 April
Jaafar Onn
Selebriti serba boleh, Jaafar Onn meninggal dunia kira-kira jam 11.32 pagi akibat serangan jantung ketika melalui prosedur endoskopi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor.
6 Mei
Hail Amir
Penyanyi dan pelakon popular era 1970-an, Datuk Hail Amir, 76, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, kira-kira jam 3.48 petang akibat jangkitan paru-paru.
9 Mei
A Halim
Penyanyi 60-an yang popular dengan lagu Salam Mesra dan Kisah Dan Tauladan, Datuk A. Halim menghembuskan nafas terakhir di Hospital Penawar, Pasir Gudang pada usia 77 tahun kira-kira jam 10.01 pagi.
26 Mei
Nabil Zamanhuri
Penyanyi, Nabil Zamanhuri menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 9 pagi akibat sesak nafas di Hospital Ampang.
4 Jun
Pyanhabib
Penyair terkenal yang juga pelakon, Pyanhabib Rahman disahkan meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang pada jam 9.30 malam.
8 Jun
Huzz
Wartawan hiburan Huzz atau nama sebenarnya Kamal Huzaini Kamaludin, 59, meninggal dunia pada jam 6.10 petang di kediaman abang kandungnya di Bertam, Pulau Pinang selepas menderita kanser usus tahap empat.
4 Ogos
Jay Jay
Penyanyi popular yang juga bekas vokalis kumpulan Carefree, Jay Jay menghembus nafas terakhir di Hospital Thompson Kota Damansara pada jam 9.30 malam. Penyanyi yang popular menerusi lagu Rindu Bayangan itu pernah menjalani pintasan jantung akibat saluran tersumbat di Institut Jantung Negara (IJN) pada Mei lalu.
14 Ogos
Nidza Afham
Penyanyi yang juga abang kepada Aufahanie iaitu Nidza Afham, 23, ditemui sekitar Jambatan Sungai Klang, setelah dilaporkan hilang selepas berjoging di Stadium Sultan Sulaiman pada malam sebelumnya.
18 September
Ooi Eow Jin
Pengarah muzik veteran, Datuk Ooi Eow Jin meninggal dunia pada usia 86 tahun akibat sakit tua di Hospital Kuala Lumpur kira-kira 3.30 petang.
16 November
S Atan
Komposer tersohor, Datuk S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said, meninggal dunia pada usia 75 tahun di kediamannya di Kajang pada jam 3.23 petang Sabtu.
24 November
Ahmad Nawab
Legenda muzik, Tan Sri Ahmad Nawab meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Gombak pada usia 92 tahun selepas mengalami sesak nafas.
8 Disember
Aspalela Abdullah
Penyanyi lagu asli, Aspalela Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada usia 80 tahun selepas ditemui tidak sedarkan diri di bilik air kediamannya di Taman Melati.
19 Disember
Lan Zailan
Pelakon veteran, Lan Zailan, 66, menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.24 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat pada awal Disember lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!