Eksport produk sarang burung walet ke China ditangguhkan sementara
PUTRAJAYA - Pengeksportan produk sarang burung walet mentah bersih dan belum bersih dari Malaysia ke China ditangguhkan sementara bermula 20 Disember lalu.
Ia susulan permohonan negara itu melalui General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC) kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) agar selaras dengan Protocol on Bird’s Nest Products Exported from Malaysia to China.
DVS menerusi kenyataan memaklumkan tindakan penangguhan pengeksportan itu diambil berikutan laporan wabak Newcastle Disease (ND) yang dikesan pada ayam dan itik di Malaysia dalam tempoh Mac hingga Jun lalu sebagaimana yang telah dilaporkan kepada World Organisation of Animal Health (WOAH).
"Sehingga kini tiada pengesanan penyakit ND pada premis dan produk sarang burung walet yang dipantau oleh DVS," katanya pada Selasa.
Ujar jabatan itu, rentetan daripada penangguhan pengeksportan tersebut, sebanyak 22 konsainan yang berjumlah 1.769 tan metrik bernilai RM 7.23 juta terdiri daripada 13 syarikat pengeksport telah berhadapan dengan masalah pelepasan di pintu masuk negara China.
"DVS telah mengadakan sesi perbincangan dengan pengeluar dan pengeksport sarang burung walet Malaysia bagi memberikan maklumat terkini dan membincangkan langkah penyelesaian kepada penangguhan sementara pengeksportan sarang burung walet ke China," jelas DVS.
Menurutnya, pihak jabatan telah menghantar laporan yang terperinci berkenaan status wabak termasuk tindakan pengurusan wabak ND di Malaysia kepada pihak GACC bagi menangani isu berkenaan serta memberi jaminan untuk memastikan produk sarang burung walet yang dihantar ke China adalah bebas daripada penyakit.
"Sebagai tindakan susulan kepada isu ini, DVS dalam tindakan mengemas kini protokol untuk dikemukakan kepada GACC bagi pengeksportan sarang burung walet dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"DVS kekal komited untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan eksport antarabangsa serta melindungi kepentingan pengeksport dan pengeluar tempatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!