Kerajaan digesa tangani ancaman industri pelancongan, perhotelan negara - MyBHA

Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) menggesa kerajaan agar mengambil serius berhubung ancaman industri hospitaliti dan memberikan keutamaan kepada penyelesaiannya menjelang suku pertama tahun 2025. Gambar kecil: Sri Ganesh Michiel
Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) menggesa kerajaan agar mengambil serius berhubung ancaman industri hospitaliti dan memberikan keutamaan kepada penyelesaiannya menjelang suku pertama tahun 2025. Gambar kecil: Sri Ganesh Michiel
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) menggesa kerajaan agar mengambil serius berhubung ancaman industri hospitaliti dan memberikan keutamaan kepada penyelesaiannya menjelang suku pertama tahun 2025.

Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel berkata, jika isu itu tidak ditangani, kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 berisiko gagal mencapai potensi sepenuhnya.

Menurutnya, kegagalan dalam hal ini bukan sahaja akan menjejaskan kredibiliti kempen tetapi juga menyebabkan ketirisan hasil yang akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

"Salah satu ancaman atau kebimbangan utama adalah kegagalan untuk mengawal selia Penginapan Jangka Masa Pendek (STRA). Pertumbuhan pesat sektor ini telah mengganggu kestabilan pengendali penginapan berlesen dan berdaftar serta mewujudkan persaingan yang tidak adil.

"Kedua adalah kegagalan mengawal selia Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA). Platform ini sering beroperasi tanpa ketelusan mencukupi, membebankan pemain industri dengan yuran komisen yang tinggi dan dinamik pasaran tidak seimbang.

"Ketiga, kita juga perlu menangani kegagalan untuk memperkenalkan semula Agensi Pemungutan Royalti Muzik Tunggal. Ketiadaan rangka kerja menyebabkan industri berhadapan dengan kerumitan yang tidak perlu dan beban kewangan tambahan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, beberapa kerajaan negeri ada mengambil kesempatan ke atas sektor hospitaliti dengan mengenakan cukai ke atas tetamu hotel namun gagal memberikan perlindungan dan sokongan yang diperlukan.

Jelasnya, pendekatan itu membebankan pengendali berlesen secara tidak adil sementara pesaing yang tidak terkawal dan tidak berlesen terus beroperasi tanpa sekatan, seterusnya menghakis integriti dan daya tahan industri.

Artikel Berkaitan:

"Ketidakcekapan lain terletak pada kaedah semasa pemungutan cukai pelancongan melalui hotel. Penyelesaian yang lebih cekap dan adil ialah dengan mengutip cukai ini di pintu masuk atau keluar negara dalam memastikan liputan menyeluruh serta melepaskan hotel daripada beban pentadbiran ini.

"Sistem sedemikian akan meningkatkan kecekapan dan keadilan kutipan cukai, memastikan sumbangan daripada semua pelancong termasuk mereka yang menggunakan penginapan alternatif atau haram," ujarnya.

Beliau memberitahu, pihak kerajaan perlu melindungi industri ini dengan bersungguh-sungguh, mendengar suara pihak berkepentingan dalam industri dan bertindak segera untuk menyelesaikan isu-isu mendesak ini.

"Kegagalan untuk melindungi industri hospitaliti akan membuka jalan kepada persaingan tidak sihat dan pelbagai akibat yang merugikan.

"Mari kita melangkah ke tahun 2025 dengan komitmen baharu untuk memperkukuh dan melindungi industri penting ini demi manfaat negara, rakyat, pelancong serta industri pelancongan secara keseluruhannya," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!