Polis cari waris mayat lelaki terdampar
PORT DICKSON - Polis sedang mengesan waris mayat seorang lelaki yang ditemui terdampar oleh warga tempatan di tepi pantai Teluk Kemang di sini, dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu tidak mempunyai butiran pengenalan diri dan pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang unsur perlakuan jenayah pada tubuh badannya.
"Butir-butir fizikalnya adalah mempunyai ketinggian sekitar 165 sentimeter, bertubuh gempal dan berambut pendek.
"Pengenalan lain pula ialah berkulit cerah serta mempunyai tatu bertulis 'SOMIT HAPA' pada lengan sebelah tangan kanan.
"Pakaian si mati semasa ditemui memakai seluar panjang berwarna hitam, baju t-shirt lengan pendek berkolar warna biru bertulis BHPC lambang kuda sukan Polo," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, selain itu, si mati memakai tali pinggang warna coklat dan 'buckle' besi bertulis Marlboro.
"Justeru, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan mayat yang ditemui boleh berhubung dengan pegawai yang mengendalikan kes ini sarjan mejar Ratnawati Hasbi Abu di talian 06-6625222 / 012-6898542 atau boleh terus ke mana-mana Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan.
"Kes dibuka sebagai siasatan mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!