Tidak semua keputusan kerajaan itu popular, membuah hasil - PM

Tangkap layar Anwar sempena Ucapan Amanat Tahun Baharu menerusi siaran langsung di media sosial pada Selasa.
Tangkap layar Anwar sempena Ucapan Amanat Tahun Baharu menerusi siaran langsung di media sosial pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akui tidak semua keputusan dan kebijakan yang digerakkan oleh kerajaan menjadi popular atau lekas membuahkan hasil.

Ujar beliau, bagaimanapun semua itu dilaksanakan dengan tekad politik jelas dengan niat ikhlas dan penilaian teliti bagi memastikan dasar tersebut memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.

"Sebagai contoh, penyasaran subsidi diesel dan sebelumnya tentang tarif elektrik yang digerakkan oleh Kerajaan Madani untuk menutup ketirisan sekian lama dek subsidi pukal yang telah disalurkan kepada pihak yang paling kaya.

“Yang saya sebut sebagai maha kaya dan orang asing (seramai) tiga setengah juta orang yang tidak layak menerima subsidi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Amanat Tahun Baharu menerusi siaran langsung di media sosial pada Selasa.

Mengenang peluncuran Ekonomi Madani pada 27 Julai 2023, ujar Menteri Kewangan itu, kerajaan telah menggerakkan usaha untuk menjelmakan anjakan baharu bermula tahun ini berdasarkan iktiar berkenaan.

"Apa yang lebih mendesak dan mustahak adalah kerangka tersebut memberi petunjuk kepada kepemimpinan dan generasi penerus untuk mempasak sebuah sistem ekonomi yang berteraskan prinsip manusiawi dengan ihsan, dengan rahmah, agar keadilan dapat ditegakkan bagi setiap insan warga Malaysia," ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan turut berhasrat menambah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan RM13 bilion menjelang tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia susulan peruntukan bagi kedua-dua inisiatif tersebut pada tahun ini mencecah RM10 bilion sekali gus merupakan jumlah terbesar dalam sejarah.

“Selain daripada menambah jumlah bantuan saban tahun, kerajaan juga giat gejala fenomena kenaikan kos yang harus ditangani, kerana kos sara hidup ditangani melalui penganjuran Program Payung Rahmah di seluruh negara.

“Pasukan pemantau digerakkan dengan aktif untuk memerhati, memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mencatut harga dengan sewenang-wenangnya,” menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!