Penyertaan bekas Ketua Pemuda MCA Sembrong kukuhkan Bersatu Johor - Sahruddin

Yew Chin (kiri) menyertai sayap Bersatu Bersekutu Johor.
Yew Chin (kiri) menyertai sayap Bersatu Bersekutu Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penyertaan bekas Ketua Pemuda MCA Bahagian Sembrong, Eugene Lim Yew Chin akan memperkukuhkan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) di Johor.

Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, parti amat menghargai penyertaan Yew Chin yang juga bekas Bendahari Pemuda MCA ke dalam sayap Bersatu Bersekutu.

"Yew Chin sanggup hilang jawatan bagi menyertai Bersatu untuk membela nasib bangsanya, dia seorang pejuang.

"Terima kasih kepada Ketua Bersatu Bersekutu Johor, Tan Lek Khang atas usaha beliau memperkukuhkan sayap parti dengan penyertaan Yew Chin," katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.

Dalam pada itu, Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong memberitahu Bersatu serius mendekati pelbagai bangsa termasuk kaum Cina bagi memperkuatkan parti.

Sebelum itu, MCA mengesahkan sudah memecat Yew Chin, yang menyertai Bersatu, baru-baru ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata, Yew Chin juga akan digugurkan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK), berikutan tindakannya mengkhianati parti.

Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon dilaporkan berkata, gesaan MCA menggugurkan Yew Chin sebagai ahli majlis akan dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) minggu depan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!