Ajaran 'The Ahmadi Religion of Peace and Light', Mhd Mohib Khouli Nazem diputuskan sesat

Nooh Gadot
Nooh Gadot
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran 'The Ahmadi Religion of Peace and Light' dan Mhd Mohib Khouli Nazem adalah sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.

Pengerusi Jawatankuasa MKI, Datuk Dr Nooh Gadot berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah menyembah maklum pandangan hukum berkenaan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi MKI dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 yang berlangsung 23 hingga 24 Oktober lalu.

Menurutnya, Majlis Raja-Raja mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing.

"Mana-mana individu atau kumpulan orang yang mengamalkan dan menyebarkan fahaman, ajaran dan pegangan seumpama ini adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Orang Islam hendaklah menjauhi fahaman dan ajaran ini serta dilarang berpegang dan beramal dengannya. Mana-mana orang Islam yang telah mengikut serta mengamalkan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada ALLAH SWT.

"Sebarang publisiti, pengajaran, penulisan, penyiaran dan penerbitan bahan bercetak audio visual atau apa-apa yang berkaitan dengan kedua-dua ajaran itu adalah tidak dibenarkan dan hendaklah disekat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Nooh, umat Islam hendaklah berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari aspek akidah berdasarkan manhaj Asyairah dan Maturidiah dari segi syariah berpandukan mazhab Syafie serta mazhab muktabar yang lain seperti Hanafi, Maliki dan Hanbali.

"Manakala dari segi tasawuf atau akhlak berpandukan manhaj Imam al-Junaid, Imam al-Ghazali serta aliran tasawuf yang sahih dan muktabar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, antara kepercayaan dan amalan ajaran 'The Ahmadi Religion of Peace and Light' yang bercanggah dengan agama Islam adalah pengikutnya mempercayai Muhammad bin al-Hassan al-Askari (imam syiah yang ke-12) sebagai Imam al-Mahdi dan beliau kini dikatakan sedang bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman.

Ujarnya, selain itu, pengikut ajaran berkenaan mendakwa Imam al-Mahdi iaitu Muhammad al-Hassan al-Askari mempunyai penolong atau ansar yang terdiri daripada 12 orang yang dianggap sebagai keturunannya secara maknawi/rohani.

"Dalam masa sama, pengikut ajaran berkenaan menafikan konsep syurga dan neraka serta akhirat secara umum serta keseluruhannya yang termaktub dalam al-Quran dan al-Hadis.

"Pengikut ajaran itu juga mendakwa syurga yang didiami oleh Nabi Adam dan Hawa ialah di dunia, malah syurga akhirat itu adalah di dunia, manakala neraka pula membawa maksud matahari, termasuk membuat dakwaan palsu terhadap rasul, nabi dan isteri baginda," katanya.

Bagi ajaran Mohib Khouli Nazem pula, Nooh berkata, antara ciri-ciri penyelewengannya termasuk mendakwa bahawa ALLAH SWT harus mempunyai anak dan seolah-olah mempunyai sifat dan jisim yang sama seperti makhluk.

"Ajaran itu juga menyesatkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada manhaj al-Asyairah dan al-Maturidiah dalam mentakwil ayat sifat ALLAH SWT seperti Istiwa, Wajh, Yad dan seumpamanya sebagai sesat sebagaimana ajaran Muktazilah dan Jahmiyyah.

"Mereka mendakwa bahawa akidah al-Asyairah telah terkeluar daripada ajaran agama Islam sebenar dan tidak sah solat di belakang imam yang berpegang dengan akidah al-Asyairah. Sekiranya solat Jumaat di belakang imam yang bermazhab al-Asyairah maka solatnya hendaklah diulang dengan solat Zuhur," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!